IPOH: Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan mencabul kehormatan anak perempuannya yang berusia 19 tahun.
Tertuduh berusia 38 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd. Ardani.
Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada enam anak itu didakwa merogol anak kandungnya di mana perhubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat dan kebiasaan yang terpakai untuk berkahwin.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Seri Rahmat, Batu Gajah pada pukul 10 hingga 12 malam, Februari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta tidak lebih 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Tertuduh turut didakwa bagi pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa di lokasi sama pada pukul 8.30 pagi, 20 Mac 2024.
Pendakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.
Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan tarikh lain pada 17 April depan untuk hukuman dan fakta kes. – UTUSAN










