Bangi, Shah Alam catat suhu terlalu panas semalam

Bangi, Shah Alam catat suhu terlalu panas semalam

Sebahagian Lembah Klang dilanca cuaca sangat panas dengan suhu 33 Celcius namun panasnya disifatkan seperti 41 Celcius.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa kawasan di Lembah Klang mencatatkan suhu terlalu tinggi dengan bacaan suhu sehingga 35°Celcius semalam.

Kawasan seperti Shah Alam direkod sebagai ‘Excessive Heat’ atau suhu terlalu tinggi iaitu 33°Celcius dan ‘akan terasa’ seperti 41°Celcius, yang boleh membawa kepada penyakit berkaitan haba, termasuk strok haba, kekejangan haba dan keletihan.

Keadaan sama juga berlaku di Bangi yang direkod sebagai suhu terlalu tinggi iaitu 33°Celcius.

Menurut ramalan cuaca oleh MetMalaysia semalam, cuaca pagi di Semenanjung Malaysia menyaksikan tiada hujan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Sementara itu, bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, kebanyakan tempat di Semenanjung Malaysia dan Sabah dijangka masih mengalami cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35°Celcius sehingga bulan depan berdasarkan analisis model-model cuaca.

“Walau bagaimanapun, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang masih berpotensi berlaku terutama di barat Semenanjung dan Sarawak pada lewat petang dan awal malam,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau turut menasihat orang awam untuk sentiasa merujuk laman web dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh mengambil tindakan menutup sekolah jika status cuaca bertukar kepada Gelombang Haba di kawasan-kawasan yang terkesan.

Katanya, tindakan itu boleh diambil mengikut Garis Panduan Penutupan Institusi Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia Semasa Cuaca Panas yang dikeluarkan pada 18 April 2023.

Menurutnya, ini termasuk Pelan Tindakan Bagi Menangani Gelombang Haba 2016 dan Pelan Tindakan Pengurusan Risiko Kesihatan Akibat Gelombang Haba 2021 yang dikeluarkan KKM.

KKM pada masa sama menasihatkan agar semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan buat sementara waktu di semua lokasi dengan status Cuaca Panas Tahap 1.

“Pendedahan kepada cuaca panas dengan berpanjangan boleh memudaratkan kesihatan terutamanya kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

“Murid-murid sekolah adalah di antara golongan berisiko tinggi mendapat kesan masalah kesihatan akibat pendedahan kepada cuaca panas disebabkan faktor fisiologi dan juga kurang pengambilan air,” katanya dalam kenyataan semalam.

Muhammad Radzi berkata, KKM menasihati ibu bapa agar memastikan anak-anak untuk mengambil air secukupnya.

“Bagi mereka yang berpuasa di bulan Ramadan ini, beliau menasihatkan meminum air mencukupi ketika bersahur dan berbuka puasa dan mengawasi tahap hidrasi dan kesihatan anak-anak sepanjang berpuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN