KUALA LUMPUR: Sebanyak RM2.52 juta disumbang oleh 93 syarikat, badan korporat serta individu kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam bentuk wang tunai, barangan keperluan dan juadah hari raya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 41 peratus berbanding sumbangan diterima tahun lalu.
“Peningkatan sumbangan ini menggambarkan wujudnya minat dan kemahuan pelbagai pihak, baik sektor korporat mahupun masyarakat lain di luar sana dalam menjaga kebajikan semua.
“Ia merupakan satu pengiktirafan dan penzahiran kepercayaan kepada keupayaan serta keberkesanan pihak kementerian dan ATM dalam menguruskan segala sumbangan ini dengan telus dan baik,” katanya dalam majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada ATM di Auditorium Wisma Pertahanan di sini, hari ini.
Sebanyak 15,000 beg diagihkan kepada semua pegawai dan anggota yang bertugas semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. – UTUSAN










