Alam Flora galak guna semula bekas makanan

Alam Flora galak guna semula bekas makanan

Dr. Zaliha Mustafa diberi penerangan mengenai Pusat Kitar Semula Pandu Lalu, di AEON BiG Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Jumaat lalu. Turut kelihatan ialah Adam Saffian Ghazali (tiga dari kiri).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dalam memupuk semangat kecintaan terhadap alam sekitar, Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) menggalakkan penggunaan semula bekas makanan ketika orang ramai berkunjung ke bazar Ramadan.

Di samping mengurangkan pembuangan sampah, ia juga dapat mengelakkan pembelian secara berlebihan yang mengakibatkan pembaziran dan peningkatan jumlah sisa di tapak pelupusan.

Bagi menyahut semangat ini, Alam Flora menyantuni orang ramai dengan mengagihkan sebanyak 1,500 bubur lambuk yang menggunakan bekas yang boleh digunakan semula di Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) AEON BiG Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Dr. Zaliha Mustafa mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai selepas melawat Pusat Kitar Semula Pandu Lalu, di AEON Big Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Jumaat lalu. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Adam Saffian Ghazali berkata, galakan penggunaan semula bekas merupakan usaha kecil Alam Flora sebagai pencetus kepada satu anjakan tabiat membeli-belah yang lebih lestari dan positif terhadap alam sekitar.

Katanya, usaha ini dapat dilaksanakan dengan jaya apabila penggunaan plastik dapat dikurangkan secara total.

“Itu adalah salah satu objektif kita membuat program hari ini untuk memberi kesedaran kepada penduduk setempat supaya menggunakan bekas yang boleh diguna semula.

“Jika kita menggunakan tiga beg plastik ketika membeli makanan selama sebulan di dalam bulan Ramadan, kita dapat mengurangkan sebanyak 90 beg plastik dan pek polisterina yang dibuang ke tapak pelupusan jika digantikan dengan bekas makanan.

“Bayangkan kalau didarabkan dengan beratus ribu orang,” katanya selepas program Kongsi Rezeki Bubur Lambuk 2024 di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Kakitangan Alam Flora mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai di AEON BiG Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Turut hadir dalam program itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa yang turut mengagihkan 1,500 bekas bubur lambuk dan 100 beg guna semula kepada orang ramai.

Dalam program itu, Zaliha dibawa meninjau dan diberi penerangan tentang DRTC selain menyaksikan orang ramai sendiri datang menjual barang-barang untuk dikitar semula.

Alam Flora adalah anak syarikat Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), yang ditubuhkan bagi memodenkan pengurusan sisa pepejal di Malaysia serta meningkatkan kecekapan dan mutu pengurusan sisa pepejal daripada peringkat penjanaan sisa sehingga ke proses pelupusan sampah.

Alam Flora juga merupakan sebuah syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negara ini yang bertanggungjawab untuk memberi perkhidmatan di kawasan Tengah dan Pantai Timur Semenanjung meliputi seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Adam berkata, tujuan pemberian 1,500 bubur lambuk ini adalah untuk memberitahu kepada penduduk sekeliling bahawa terdapat pusat kitar semula yang berhampiran.

“Pusat Kitar Semula Pandu Laju (DTRC) AEON BiG Wangsa Maju adalah merupakan salah satu dari tiga yang sedia ada dan Alam Flora akan akan perbanyakkan lagi.

“Pihak Alam Flora menggalakkan penggunaan bekas yang boleh diguna semula supaya tidak banyak plastik yang akan dihantar ke tapak pelupusan sampah.

“Kita menggalakkan lagi orang ramai untuk melakukan amalan kitar semula kerana kadar terkini kitar semula mencecah 30 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya berjimat cermat dan tidak terlalu mengikut nafsu ketika membeli makanan di Bazar Ramadan.

“Sekiranya makanan yang dijual tidak habis. Saya menyarankan peniaga tidak melakukan pembaziran. Peniaga boleh menderma makanan yang tidak habis dijual kepada rumah- rumah kebajikan atau golongan yang lebih memerlukannya.

Mengulas lanjut, Adam berkata, pihaknya memberi jaminan kepada orang ramai bahawa khidmat kutipan sampah serta pembersihan akan berjalan seperti biasa semasa perayaan Hari Raya Aidil Fitri yang bakal menjelang nanti

“Saya ingin memberi jaminan kepada penduduk Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Terengganu dan Kelantan, semasa Hari Raya Aidilfitri akan datang, pihak Alam Flora masih melakukan pengutipan sampah dan membuat pencucian awam,” ujarnya.

Tambahnya, Inisiatif ini adalah sebahagian daripada tonggak perniagaan Malakoff sebagai aspirasi Penyelesaian Alam Sekitar Malakoff untuk memberi tumpuan kepada pengurusan alam sekitar dan penyelesaian yang didedikasikan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan planet ini.

“Ia juga selaras dengan matlamat ke-11 dalam Sustainable Development Growth (SDG), di mana ia bertujuan menjadikan bandar dan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan serta menyokong tujuan menyeluruh Malakoff iaitu ‘Enhancing Life, Enriching Communities’,” katanya.

Alam Flora memohon kerjasama orang ramai untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Alam Flora di talian 1-800-88-7472 yang beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi sehingga 8 malam untuk berkongsi maklumat tahap kebersihan di kawasan masing-masing supaya tindakan susulan yang bersesuaian boleh diambil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN