PETALING JAYA: Polis mengesahkan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff cedera ringan selepas kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Antarabangsa, Ampang, dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 5.08 petang itu, kemalangan membabitkan pacuan empat roda Hilux dengan kereta Mazda.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian hujan lebat yang mana pemandu Hilux sedang melalui selekoh sebelum kereta Mazda datang dari arah bertentangan secara tiba-tiba.

Kata beliau, kenderaan itu masuk ke laluan bertentangan menyebabkan kenderaan itu bertembung.
“Akibat dari kemalangan ini, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan manakala kesemua mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pemandu dan penumpang Hilux ini terdiri empat ahli keluarga di mana salah seorang penumpang adalah Ahli Parlimen Rantau Panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Azam berkata, ketika kejadian itu mereka dalam perjalanan ke Puchong untuk menghadiri majlis berbuka puasa.
“Mangsa mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Zon Kuning Jabatan Kecemasan Hospital Ampang dan dibenarkan pulang pada hari yang sama.
“Sekiranya ada terdapat saksi bagi kes kemalangan ini, diminta untuk tampil ke Balai Polis Trafik Ampang Jaya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – UTUSAN










