PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap dan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Tinggi, di Istana Negara, hari ini.
Istiadat dimulakan dengan pengurniaan surat cara pelantikan kepada Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Seri Paduka Baginda kemudian berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Su Tiang Joo, Alexander Siew How Wai dan Amelati Anak Parnell.
Istiadat mengadap dan pengurniaan surat cara pelantikan tersebut berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.
Istiadat turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali; Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad. –UTUSAN