8,000 pengunjung dapat manfaat bazar Ramadan Rahmah

8,000 pengunjung dapat manfaat bazar Ramadan Rahmah

KAMALLUDIN Ismail (dua dari kanan) pada program tambah nilai e-wallet bazar Ramadan Rahmah di Manjung, Perak semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kira-kira 8,000 penduduk setempat di sini mendapat manfaat daripada program tambah nilai e-wallet di bazar Ramadan Rahmah di Perak sepanjang bulan puasa tahun ini.

Empat lokasi dipilih bagi melaksanakan program itu tahun ini iaitu di Taman Cempaka, Silibin dan Taman Perpaduan di Ipoh serta bazar di belakang Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di Seri Manjung.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail, berkata pihaknya menyediakan RM160,000 keseluruhan bagi tambah nilai RM20 untuk satu akaun e-wallet.

“Program ini dilaksanakan sebanyak 16 kali atau empat kali bagi setiap bazar Ramadan tersebut.

“Oleh itu, kita minta ma­syarakat setempat ambil ke­sempatan untuk mendapatkan RM20 dalam e-wallet untuk 500 orang pertama dan mem­belanjakannya di bazar Ramadan Rahmah tersebut,” katanya pada program pertama tambah nilai e-wallet bazar Ramadan Rahmah di belakang Stadium MPM semalam.

Menurut Kamalluddin, menerusi program itu, pusingan dan rantaian ekonomi berlaku di bazar Ramadan dan memberi manfaat kepada peniaga dan masyarakat setempat.

Beliau meminta orang ramai mengikuti Facebook dan TikTok KPDN Perak untuk mengetahui bila program itu akan diadakan kerana pihaknya akan menguar-uarkannya sehari sebelum ia dilakukan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan sehingga hari ini, pihak­nya belum menerima sebarang aduan mengenai kesalahan berkaitan harga dan kepenggunaan di bazar Ramadan seluruh Perak.

Katanya, KPDN Perak mela­kukan Op Pantau melibatkan 160 pegawai penguatkuasa dan 70 pegawai pemantau harga yang turun padang di setiap lokasi bazar Ramadan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×