PETALING JAYA: Sebanyak 13 isu berbangkit di sekitar Sungai Buloh dalam Hari Bertemu Pelanggan sempena Peringatan Hari Polis ke-217, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, antara permasalahan dibangkitkan melibatkan tiga isu trafik; komuniti (enam isu); narkotik (satu isu), balai polis (dua isu) dan keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam (satu isu).
“Ia melibatkan masalah kesesakan jalan raya, isu penggunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah dan warga asing di sekitar Sungai Buloh yang meresahkan penduduk.
“Tujuan program ini bagi mendekatkan masyarakat dengan mendapatkan reaksi positif untuk bertemu dengan polis, menghilangkan perasaan takut dalam menyatakan atau menyampaikan sesuatu maklumat selain mengurangkan jurang persepsi masyarakat terhadap polis,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Hafiz berkata, program tersebut juga dapat meningkatkan kesedaran serta mendidik masyarakat untuk bersama-sama mencegah jenayah di peringkat komuniti.
“Maklum balas daripada pelanggan yang hadir menyarankan program ini perlu diteruskan kerana ia lebih terbuka untuk menyalurkan aduan.
“Pelanggan amat berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh pegawai dan anggota dalam program tersebut,” katanya.
Pada 15 Mac lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, masyarakat di Selangor berpeluang bertemu dengan polis dan menyuarakan permasalahan dihadapi mereka pada Hari Bertemu Pelanggan yang akan diadakan hari ini di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini.
Katanya, program itu antara cara untuk rakyat menyuarakan kebimbangan mereka mengenai polis terus kepada kepimpinan. – UTUSAN








