KUALA SELANGOR: Seramai 1,000 pesilat di daerah ini menzahirkan solidariti terhadap nasib dan perjuangan rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis.
Tanda sokongan itu dinyatakan menerusi himpunan lebih 13 pertubuhan dan kelab silat di Stadium Tertutup Kuala Selangor, malam tadi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, umum mengetahui kesengsaraan Palestin yang masih diserang dan dibedil Israel sehingga kini.
Jelas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu, himpunan pesilat itu bertujuan mendesak agar peperangan itu dihentikan apatah lagi melibatkan pembunuhan kanak-kanak dan wanita.
“Selain itu, ia mewakili kesatuan suara pelbagai lapisan rakyat di Kuala Selangor termasuk golongan belia yang menentang perbuatan zalim Zionis.
“Jangan kita putuskan doa buat rakyat Palestin dan terus meningkatkan kepekaan di media sosial supaya terus mendapat perhatian dunia,” katanya.
Peserta himpunan itu antaranya melibatkan Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Pertubuhan Seni Silat Jurus Rentak Makrifat, Legasi Seni Silat Cemandi dan Kelab Seni Patani.
Pada program itu, Dzulkefly turut merasmikan majlis penutupan Kejohanan Silat Terbuka Parlimen Kuala Selangor edisi kedua yang turut disertai pesilat remaj dan kanak-kanak.
Dalam pada itu, beliau berkata, sukan silat membawa pelbagai kejayaan di daerah ini dengan melahirkan barisan pesilat yang mewakili pasukan Selangor termasuk Sukan Malaysia (SUKMA).
“Kuala Selangor juga menjadi juara keseluruhan Kejohanan Silat Remaja Negeri Selangor 2023 dengan 11 pesilat mewakili negeri kejohanan peringkat kebangsaan.
“Ia satu pencapaian membanggakan dan diharap lima pesilat daerah ini yang bakal ke SUKMA Sarawak kelak memperoleh kejayaan cemerlang,” ujarnya. – UTUSAN










