WUSHU adalah seni bela diri yang berasal dari China. ‘Wu’ bererti perang, sementara ‘shu’ bermaksud seni.
Secara harfiah, wushu bermaksud seni bertempur atau bela diri. Wushu juga terkandung di dalamnya unsur seni, olahraga dan kesihatan.
Menyedari kepentingan wushu, ibu dan bapa kepada atlet wushu negara, Sydney Chin Sy Xuan, 25, menghantar dirinya menuntut ilmu pertahanan diri itu sejak zaman kanak-kanak lagi.
“Masa itu, saya baru berusia tujuh tahun. Ibu dan bapa saya melihat tubuh badan saya agak lemah, jadi mereka bawa saya belajar wushu.
“Sejak itu, saya mula meminati wushu sehingga adik lelaki saya pun turut serta sekali,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.
Berdasarkan laman web Persekutuan Wushu Antarabangsa (IWUF), wushu dipercayai muncul ketika perjuangan manusia purba untuk meneruskan kehidupan termasuk begelut dengan binatang buas di zaman Gangsa.
Wushu berkembang menjadi teknik pertempuran khusus bersenjata dan tidak bersenjata dalam kalangan tentera, semasa era Dinasti Shang (1,556).
Ketika itu, wushu menjadi sangat popular dalam kalangan rakyat sebagai seni pertahanan diri, menjaga kesihatan serta hiburan.
KEJOHANAN DUNIA

Bekas juara remaja dunia wushu ini berkata, dia menguasai seni bela diri ini ketika menjengah usia belasan remaja.
Kongsinya, pada mulanya, dia hanya berlatih secara suka-suka di sebuah dewan terbuka di sebuah sekolah di Batu Berendam, Melaka.
“Masa itu, saya hampir berputus asa sebab tarikh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah dekat. Kalau tak tersenarai dalam pasukan kebangsaan, lebih baik saya fokus belajar.
“Kebetulan, ada rezeki dan peluang serta sasaran menyertai kejohanan dunia juga sudah terbukti,” katanya.
Berkongsi teknik menguatkan anggota badan termasuk bahagian kaki, katanya, dia bersama rakan sepasukan lain akan menyertai kelas teknikal dan latihan di gimnasium.
“Latihan di gimnasium untuk menguatkan otot, perlu memikul beban dan melompat.
“Daripada aspek pemakanan pula, kami perlu menjaga kadar kolesterol sebab tidak boleh terlebih berat badan kerana akan mendatangkan impak semasa sesi lompatan.
“Selain itu, kami tak boleh mengambil makanan berminyak. Makanan segera pula hanya sekali-sekala sahaja,” jelasnya.
TAK PERNAH SALAH GUNA
Disoal pernah menggunakan wushu di luar, katanya, setakat ini dirinya belum pernah berdepan sebarang situasi yang mencemaskan.
“Kalau terpaksa gunakan ketika insiden kecemasan, sudah pasti kaki saya akan menghinggap muka penyerang terlebih dahulu,” ujarnya.
Buat mereka yang berminat menceburi seni pertahanan diri itu, anak sulung daripada dua beradik ini menitipkan nasihat agar mempunyai kesabaran yang tinggi.
“Saya sendiri mengambil masa selama lapan tahun untuk meraih pingat di kejohanan dunia. Kalau tak sabar, sudah tentu tak dapat meraih kejayaan.
“Kedua, perlu mempunyai disiplin yang tinggi. Saya akan berlatih dari pukul 6.30 pagi sehingga pukul 9 pagi, setiap hari. Sehari, saya akan berlatih sehingga enam jam,” katanya yang menyasarkan pingat semasa kejohanan wushu di Macau, Mei depan.











