GEORGE TOWN: Majoriti warga Indonesia yang menetap di Pulau Pinang mahu negara mereka dipimpin oleh seorang Presiden yang komited dalam membantu rakyat selain mampu menjulang kembali nama negara itu di persada dunia.
Pada masa yang sama, rata-rata daripada mereka juga berharap ‘kepala kantor’ yang baharu itu nanti berupaya dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di negara yang dihuni oleh sebahagian besar penduduk beragama Islam itu.
Terdahulu, tinjauan Utusan Malaysia di luar pekarangan Konsulat Jenderal Republik Indonesia Pulau Pinang, Jalan Burmah di sini, mendapati, ramai warga Indonesia tidak melepaskan peluang untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pemilih berdaftar pada hari pengundian awal Pemilihan Umum Indonesia (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024, semalam.
Tidak ada sebarang kekacauan dilaporkan berlaku dan ada dalam kalangan pengundi yang dilaporkan telah keluar seawal 7 pagi semata-mata tidak mahu ketinggalan untuk membuang undi lebih awal.
Bagi Susanti, 39, yang sudah 10 tahun tinggal di Pulau Pinang, dia mengimpikan untuk kembali ke Indonesia jika keadaan ekonomi di negara tersebut menunjukkan tanda-tanda akan pulih.
“Siapa tidak sayangkan keluarga di Indonesia tetapi saya terpaksa berhijrah ke Malaysia kerana desakan hidup.
“Insya-Allah, jika diizinkan Tuhan, saya bersedia kembali menabur bakti di bumi tercinta, Indonesia,” katanya yang berasal dari Surabaya, Indonesia.
Pandangan yang sama turut dikongsi oleh seorang lagi warga Indonesia iaitu Budi Hartono Dharmawan, 41, yang berharap Presiden Indonesia yang baharu lebih mendengar ‘suara hati’ rakyat.
“Malaysia umpama negara kedua saya tetapi saya tetap menyimpan keinginan untuk kembali ke Indonesia suatu hari nanti,” katanya yang telah berada di negara ini sejak 15 tahun yang lalu.
Dianggarkan kira-kira 5,375 daripada keseluruhan 832,420 warga Indonesia di negara ini yang berdaftar sebagai pemilih berada Pulau Pinang ketika ini. – UTUSAN










