Wanita sejengkal dari ajal, kereta terjunam hampir masuk sungai

Wanita sejengkal dari ajal, kereta terjunam hampir masuk sungai

SEORANG wanita ditenangkan oleh anggota bomba berada dalam keadaan ketakutan selepas diselamatkan apabila kereta yang dinaiki terjunam hampir masuk ke dalam Sungai Segamat berhampiran Jalan Hassan, awal pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Bagai telur dihujung tanduk, seorang wanita berdepan detik cemas apabila kereta yang dinaiki bersama suaminya hampir menjunam ke dalam Sungai Segamat berhampiran Jalan Hassan di sini, awal pagi tadi.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK) KUP Mahadzir Basir, pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada suami mangsa kira-kira pukul 12.31 tengah malam mengenai kejadian.

“Setibanya pihak bomba di tempat kejadian, terdapat sebuah kereta jenis Proton Iswara di mana bahagian belakang kereta hampir masuk ke dalam sungai dan bahagian tayar hadapan kereta sedikit terangkat.

“Suami mangsa yang memandu sempat keluar dari kereta tersebut namun isterinya yang berada di tempat duduk penumpang hadapan dalam kedudukan yang tidak selamat untuk keluar.

“Mangsa wanita berumur 45 tahun diselamatkan oleh pihak bomba dengan menggunakan teknik witch menstabilkan bahagian hadapan kereta sebelum membawa wanita tersebut keluar dari kereta dengan selamat.

“Mangsa dalam keadaan sedikit trauma akibat masih ketakutan dan terkejut dengan kejadian berkenaan selepas diselamatkan,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat hari ini.

Tambah Mahadzir, tindakan mangsa yang tidak keluar dari kenderaan telah menyelamatkan keadaan kerana jika mangsa keluar, kereta menjadi tidak stabil dan boleh tenggelam ke dalam sungai.

Pasangan suami isteri terbabit dipercayai berada di kawasan itu untuk meletakkan kenderaan dan menjalankan aktiviti riadah memancing.

Ujarnya lagi, keadaan tanah tebing sungai juga licin dan mendap selepas hujan pada hari berkenaan menjadi antara punca kereta terbabit terjunam ke tebing sungai.

Seramai lapan orang anggota dari BBP Segamat dan BBP Bandar Baru Segamat dikejarkan ke tempat kejadian bersama dua jentera. Operasi ditamatkan pada pukul 1.04 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN