PETALING JAYA: UMNO tidak mungkin menjalin kerjasama dengan Pas untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dengan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) kerana tidak mahu terpedaya dengan ‘tipu helah’ parti berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, walaupun tidak ada istilah serik dalam politik tetapi beliau percaya UMNO sudah tahu apa akan berlaku jika kembali ‘berkawan’ dengan Pas.

Kata beliau, UMNO tidak mahu ditipu dan dikhianati oleh Pas buat kali kedua sekiranya menjalinkan kerjasama politik.
“Saya tidak fikir kepimpinan UMNO akan pertimbangkan hasrat Pas itu, apa yang berlaku sudah menjadi sejarah. Pengalaman setahun bersama Pas dalam MN sudah cukup bagi mengenal hati budi mereka.
“Kita dikhianati oleh Pas sebagaimana mereka pernah mengkhianati parti-parti lain sebelum ini. Pas akan hanya jadi sahabat politik kepada parti lain untuk kepentingan mereka sahaja,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, tindak-tanduk pemimpin DAP yang didakwa sering mengeluarkan kenyataan menguris hati umat Islam diharap membuka mata UMNO untuk kembali bersama Pas menghidupkan semula MN.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, pihaknya sentiasa terbuka menerima UMNO dengan parti berkenaan perlu meninggalkan DAP.
Malah, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar juga tidak menolak kemungkinan adanya kerjasama semula antara UMNO dan Pas dalam MN sebelum PRU16.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, UMNO lebih berpeluang untuk bangkit semula sekiranya kekal di dalam Kerajaan Perpaduan kerana DAP dilihat tidak akan menganggu kawasan yang ditandingi oleh parti tersebut.
“DAP hanya fokus di kawasan majoriti Cina. UMNO juga tidak akan ganggu kawasan DAP. Malah, dalam Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil yang lalu ternyata DAP membantu kemenangan calon UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Sekiranya UMNO bersama Pas maka peluang untuk kita bangkit adalah susah, mereka dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan memberi ruang kepada UMNO dalam PRU16.
“Mereka tidak akan menyerahkan kawasan yang mereka dimenangi Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 kepada UMNO. Pas mahu UMNO diganti oleh Bersatu. Jadinya, mana mungkin kita akan bersama dengan mereka?” katanya. – UTUSAN











