Udang galah Sungai Kahang jadi 'buruan'

Udang galah Sungai Kahang jadi ‘buruan’

udang galah
SEORANG pemancing menunjukkan hasil diperoleh selepas sehari memancing udang galah di Sungai Kahang, Kluang, Johor. Pada tahun 2023, Malaysia telah mencatatkan pengeluaran sebanyak 793.9 tan metrik udang galah dengan nilai borong RM42 juta, meningkat daripada 625.3 tan metrik (RM30.8 juta) pada tahun 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Pemancing udang galah bagaikan berpesta di Sungai Kahang apabila setiap seorang membawa pulangan tangkapan lumayan sejak seminggu lalu. 

Apa tidaknya, walaupun dianggap baru belajar memancing, namun mereka masih tetap membawa pulang sekurang-kurangnya tiga kilogram udang galah bersaiz A hanya dalam tempoh beberapa jam.

Pemilik Jeti Lubuk Pungkur, Osman Manap, 55, berkata, sebaik sahaja air sungai mulai surut pada 4 Februari lalu,  setiap hari kira-kira 20 pemancing akan mencuba nasib dan masing-masing membawa pulang tangkapan lumayan. 

Keadaan itu membuatkan bot yang disediakan untuk pemancing tidak mencukupi, termasuk di beberapa pengkalan lain seperti di Kolin, Jarut, Tanah Abang dan Loji. 

“Jika dikira secara keseluruhan lima jeti di Sungai Kahang, pemancing yang datang setiap  hari tidak kurang daripada 100 orang. 

“Jumlah ini akan bertambah apabila cuti hujung minggu kerana pemancing akan turun selama dua hari bagi membolehkan mereka membawa hasil sekurang-kurangnya 10 kilogram,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, seorang pemancing yang hanya mahu dikenali sebagai Daus, 35, berkata, peluang cuti sempena sambutan Tahun Baharu Cina digunakan sepenuhnya untuk memancing selepas melihat hasil yang lumayan diperoleh pemancing lain. 

Walaupun jarang turun memancing akibat kekangan tugas, namun tetap tidak menghampakan malah dia mampu membawa pulangan hasil yang berbaloi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN