UDA-NBUC meterai MoU dalam bidang pendidikan

UDA-NBUC meterai MoU dalam bidang pendidikan

MOHD. Salem Kailany (dua kanan) dan Azimuddin Bahari (dua kiri) menandatangani MoU di NBUC, Kota Kinabalu, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: UDA Holdings Berhad (UDA) terus komited memperkasa sektor pendidikan dengan membantu meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran pelajar Kolej Universiti Borneo Utara (NBUC) dalam bidang pembangunan hartanah, hospitaliti dan pengurusan fasiliti.

Komitmen itu dilihat mampu direalisasikan dengan termeterainya memorandum  persefahaman (MoU) antara UDA dan NBUC, di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr. Mohd. Salem Kailany berkata, dengan termeterainya MoU tersebut, UDA boleh menyediakan peluang  penyediaan latihan, pendidikan dan pengalaman industri kepada pelajar serta tenaga kerja NBUC.

“Perkongsian strategik antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan industri seumpama ini juga dapat memberi pemahaman yang lebih berkesan berhubung trend dan amalan industri masa kini terutama dalam pembangunan hartanah serta pengurusan aset yang dilaksanakan oleh UDA.

“Dengan pengalaman yang melangkaui beberapa dekad, input ini boleh digunakan sebagai rujukan bagi mengukuhkan lagi pengetahuan industri kepada bakal graduan NBUC.

“Di samping menambah baik sukatan pelajaran dan perkongsian pengalaman antara kedua-dua pihak,” katanya semasa majlis menandatangani MoU itu.

Kata beliau, UDA juga bersedia menawarkan latihan industri dan nasihat kepakaran kepada pelajar serta pensyarah NUBC dalam bidang berkaitan tertakluk kepada terma dan syarat, agar dapat memberi manfaat kepada semua pihak. 

Perkara ini juga memenuhi keperluan peningkatan kemahiran industri untuk generasi baharu dan akan datang.

UDA merupakan peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Sementara itu, Naib Canselor NBUC, Prof. Datuk Dr. Azimuddin Bahari berkata, dengan termeterainya MoU tersebut, ia bukan hanya membuka peluang kepada graduan menjalani latihan industri malah memberi ruang kepada kakitangan UDA untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Setakat ini, NUBC menawarkan tujuh kursus pengajian untuk pelbagai peringat sehingga ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN