TANJUNG MALIM: Secara purata, setiap tahun di Perak dikatakan terdapat kira-kira 7,500 individu gagal mendapat keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus gagal memasuki institusi pengajian tinggi.
Situasi itu mendorong mereka bekerja sebagai buruh kasar atau pekerja industri dengan gaji yang rendah kerana tiada kepakaran tambahan khususnya dalam Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, sekiranya 7,500 individu itu menjalani latihan TVET, peluang mereka mendapat pekerjaan lebih baik dengan gaji lebih tinggi adalah cerah.
“Ubah pemikiran terlebih dahulu dengan mengatakan TVET ini kelas rendah kerana dengan adanya kemahiran ini, seorang remaja berusia 18 tahun boleh mendapat gaji bermula RM1,700 hingga puluhan ribu ringgit.
“Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) setiap tahun menghasilkan kira-kira 2,000 graduan TVET dengan program ini ditawarkan secara percuma kepada mereka yang layak.
“Ini tidak termasuk kursus TVET yang ditawarkan oleh Pusat Giat Mara, politeknik dan institut latihan perindustrian (ILP),” katanya dalam Jelajah Karnival Kerjaya Perak Sejahtera Daerah Muallim 2024 di sini, semalam.
Kata Sivanesam, ibu bapa yang mendapati anak-anakcenderung mendapat keputusan sederhana dalam SPM menghantar mereka ke institusi yang menawarkan kemahiran dalam TVET.
“Kita khuatir sekiranya mereka tidak bekerja mungkin terlibat dengan masalah sosial seperti rempit.
“Lebih baik mereka menjadi anak yang berguna kepada keluarga dan masyarakat dengan ilmu TVET yang mereka ada,” katanya. – UTUSAN









