KUALA LUMPUR : Pengguna lebuh raya di seluruh negara akan menikmati tol percuma esok dan Jumaat ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, semua kelas kenderaan akan menikmati tol percuma bermula 12.01 tengah malam 8 Februari hingga 11.59 malam 9 Februari ini.
Tahun Baharu Cina disambut pada 10 dan 11 Februari ini.
Katanya, pengecualian itu tidak termasuk Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Lebuhraya Linkedua) di Johor.
“Pendekatan pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Alexander turut menjelaskan inisiatif tersebut melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM42.99 juta.
Justeru, beliau berharap pengguna lebuh raya akan merancang perjalanan sebaiknya susulan pemberian tol percuma itu. – UTUSAN










