Tiga rakyat Malaysia kayuh basikal ke Mekah, selamat tiba di Iran - Utusan Malaysia

Tiga rakyat Malaysia kayuh basikal ke Mekah, selamat tiba di Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGALAMAN berbasikal ke Mekah semasa menunaikan umrah tujuh tahun lalu, mendorong pasangan suami isteri ini meneruskan misi sama dengan tujuan yang lebih besar. 

Hasrat menunaikan haji dengan mengayuh basikal sejauh 12,000 kilometer (km) merentas tujuh negara merupakan impian Ahmad Mohd Isa, 35 dan Noradilah Mohd Shafie, 36, bersama penunggang lain iaitu Abdul Halim Talha, 56. 

 Kedengaran seperti tidak masuk akal, tetapi ketiga-tiga penunggang basikal ini sudah memasuki Iran, 16 Februari lalu, menerusi misi suci Kembara Memburu Hikmah Malaysia ke Mekah.   

Ketiga-tiga mereka memulakan kayuhan dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong sejak 23 November tahun lalu.  

Mereka dijangka tiba di Tanah Suci Mekah pada pertengahan Mei depan (10 Zulkaedah). 

Tanpa tajaan mana-mana pihak, kesemua peserta kayuhan Haji 2024 itu menggunakan wang tabungan dan simpanan sendiri bagi merealisasikan misi berkenaan.   

Mengenai permit menunaikan haji kelak, Noradilah berkata, mereka perlu berurusan dan membuat pembayaran kepada syarikat agensi pelancongan tempatan di Arab Saudi.  

“Alhamdulillah, kami sudah membuat persediaan rapi termasuk berhubung dengan setiap Kedutaan Malaysia di luar negara, permohonan visa, penginapan, insurans dan kelengkapan alat ganti basikal.  

“Kemungkinan kami akan menyambut awal Ramadan di Iran dan tetap meneruskan kayuhan sehingga tiba ke destinasi yang dituju. Kami jangka beraya di UAE, sebelum tiba di Mekah,” kata guru al-Quran ini.   

Berbaki sebulan sebelum Ramadan, Noradilah berkata, semangat mereka tetap berkobar-kobar meneruskan kayuhan walaupun perlu berpuasa di siang hari. 

Kongsinya, kembara berkonsepkan haji Do It Yourself (DIY) ini adalah misi pertama kali dalam sejarah hidupnya. 

“Dua tahun lepas, saya pernah menunaikan haji bersama pihak Lembaga Tabung Haji. Haji DIY kali ini sudah tentu cabarannya lebih besar seperti perlu bermalam di masjid dan berkhemah di laluan tertentu,” katanya.  

Mengaku agak gementar menyertai misi ini, Noradilah berkata, persiapan secara fizikal sudah dilakukan dengan pengalaman mengayuh basikal mengelilingi Malaysia bersama suaminya.  

“Perjalanan kali ini agak panjang selama tujuh bulan. Sebab nawaitunya adalah semata-mata mahu menunaikan haji. 

“Asalnya, ini adalah projek suami bersama rakan penunggang lain. Sudah tentu menuntut kesabaran dan pengurusan emosi yang tinggi. 

“Dalam tempoh masa persediaan yang agak singkat, saya dan suami tetap meneruskan misi kembara ke Mekah ini,” jelasnya.  

ASPEK KESELAMATAN

Mengenai aspek keselamatan, penulis novel travelog bersiri berjudul, Ustazah Basikal, Ahmad berkata, kesemua mereka perlu melaporkan diri di semua kedutaan Malaysia yang dilalui. 

Katanya, pihak Kementerian Luar juga sudah maklum mengenai misi berkenaan dan berjanji akan memantau keselamatan dari semasa ke semasa. 

“Dalam keadaan tertentu, kami akan bergerak secara berdua-dua. Bila bertiga ini akan mudah kelihatan dari jauh, jadi ia adalah langkah keselamatan yang sudah difikirkan. 

“Kelengkapan termasuk beg-beg yang digalas mencecah 60 kilogram (kg). Visa tunai haji itu belum pasti lagi. 

“Namun, apa yang dimaklumkan oleh agensi pelancongan, kami perlu tiba di Arab Saudi sebelum 10 Zulkaedah. Sampai sana baru kami akan fikir mengenai permohonan visa haji,” katanya.  

7 BULAN TANPA GAJI – HALIM  

ABDUL Halim Talha (hujung kanan), Che Saad Nordin (dua kanan), Noradilah Mohd Shafie (dua kiri ) dan Ahmad Mohd. Isa (hujung kiri) semasa acara pelepasan Kembara Berbasikal Ke Mekah di Masjid Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong. – UTUSAN/ Syakir Radin

Disebabkan giliran menunaikan haji pada 2096, Abdul Halim yang berkhidmat di FRIM nekad menyertai misi berkenaan tanpa berbelah-bahagi.  

Bagi tujuan itu, beliau sanggup mengambil cuti tanpa gaji selama tujuh bulan daripada pihak majikan. 

“Sebagai penjawat awam, saya perlu memohon kebenaran daripada ketua jabatan dan pihak pengurusan atasan terutamanya kelulusan dari Kementerian Luar. 

“Ini kerana, ada negara tertentu yang tidak membenarkan kemasukan penjawat awam dan perlu mendapat sokongan penuh Wisma Putra. 

“Pihak Wisma mengeluarkan surat sokongan untuk kami sekiranya perlu, ketika berada di sempadan mana-mana negara. Balik nanti, saya hanya perlu bekerja selama setahun sebelum pencen,” katanya yang mula mengayuh basikal sejak zaman sekolah. 

Disoal pengorbanan sepanjang tidak mempunyai gaji, katanya, beliau sudah melakukan persediaan dan perancangan rapi lebih awal. 

Kongsinya, sejak mula bekerja, beliau sudah membuat potongan gaji ke akaun Tabung Haji secara bulanan, selain menjual aset lain bagi menampung kos perbelanjaan.  

“Sebelum menyertai misi ini, saya sudah tinggalkan perbelanjaan buat anak dan isteri. Insya- Allah mencukupi. 

“Ikutkan kos keseluruhan perjalanan ini sebenarnya lebih mahal dua kali ganda daripada kos mengerjakan haji seperti biasa iaitu mencecah RM65,000 termasuk makan minum, penginapan dan visa,” katanya. 

Sepanjang misi itu, jelasnya, mereka turut membawa peralatan berkhemah bagi menjimatkan kos penginapan di negara tertentu. 

“Ada tempat yang kami akan bermalam di surau atau masjid. Kalau berkhemah, kami akan pastikan berada di laluan bersesuaian. Hotel pula adalah pilihan terakhir,” jelasnya. 

IMPIAN TERTANGGUH CHE SAAD 

Kalau tidak kerana sakit, Che Saad Nordin, 73, mungkin sudah melunaskan misi kembara berbasikal ke Mekah sehingga garisan penamat. Namun, segala-galanya adalah ketentuan Yang Maha Esa. 

Bekas wartawan Utusan Malaysia yang pernah berkhidmat bersama Kumpulan Utusan di cawangan Kedah sejak 1982 ini terpaksa melupakan hasrat tersebut semasa hari ke-68 misi berkenaan. 

“Saya ada masalah kesihatan sehingga menyebabkan tekanan pernafasan menjadi rendah akibat cuaca terlampau sejuk. 

“Ketika itu, kami dalam perjalanan dari Mumbai ke Pakistan. Doktor menasihatkan saya supaya keluar dari kawasan ini (Pakistan) dalam tempoh 48 jam.

“Saya terpaksa pakai inhaler bagi mengurangkan semput dan kerap berhenti tepi jalan bagi mendapatkan haba daripada penduduk yang menghidupkan unggun api,” katanya.  

Sejurus itu, rakan-rakan penunggang lain bertindak menguruskan penerbangan baliknya ke Malaysia bagi mengelakkan masalah lain timbul.   

Kongsinya, beliau menaiki penerbangan dari Lahore, Pakistan ke Malaysia, 29 Januari lalu. 

“Basikal saya tak bawa pulang dan bagi pada pengayuh lain di negara itu. Saya berseorangan menaiki penerbangan ketika itu. 

“Masa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ahli keluarga terkejut melihat saya berjalan terumbang-ambing. Namun, Alhamdulillah perjalanan semuanya berjalan lancar,” katanya. 

Che Saad merupakan peserta paling senior misi berkenaan yang mempunyai pengalaman berbasikal mengelilingi negara sebanyak 22 kali. 

Beliau juga berpengalaman menunaikan haji sebanyak tiga kali serta dua kali ibadah umrah. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×