‘Tidak mustahil tinggal RM6 bagi 100 baht’

‘Tidak mustahil tinggal RM6 bagi 100 baht’

KADAR tukaran mata wang Ringgit Malaysia (RM) yang lebih rendah berbanding Thai Baht menjadi antara faktor rakyat negara ini mula berkurangan mengunjungi Thailand. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kadar tuka­ran mata wang Ringgit Malaysia (RM) yang lebih rendah berbanding Thai Baht antara faktor rakyat negara ini mula berkurangan mengunjungi negara gajah putih itu.

Ketika ini, nilai 100 baht bersamaan RM7.53 atau 10,000 baht bersamaan RM753 sekali gus menunjukkan perbezaan atau kerugian nilai lebih kurang RM250 jika rakyat Malaysia menukar balik baht kepada mata wang negara.

Sebagai rekod, 10 tahun atau lapan tahun lalu, nilai ringgit pernah lebih tinggi daripada baht iaitu 100 baht mencecah RM11 hingga RM12.

Ketika ini, anggaran rakyat negara ini mengunjungi Thailand melalui sempadan negeri ini sekitar 2,000 orang sehari pada hujung minggu khususnya pada Sabtu dan Ahad.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri, Izizam Ibrahim berkata, beliau difahamkan, per­kembangan tersebut menyaksikan pengunjung dari Malaysia ke Thailand mula berkurangan de­ngan mereka lebih memilih bercuti di dalam negara.

Katanya, kadar tukaran mata wang RM kepada baht sudah tidak sama seperti dahulu de­ngan semakin hari nilai sema­kin rendah dan tidak mustahil boleh jatuh ke sekitar RM6 selepas ini.

Katanya, meskipun masih ramai berkunjung ke Thailand namun ia sudah tidak semeriah seperti sebelum ini, malah cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini juga difahamkan tidak seramai seperti perayaan Krismas pada Disember tahun lalu.

“Sekarang tukar 100 baht hanya berlegar-legar sekitar RM7 sahaja dan kalau tukaran 10,000 bath hanya tinggal RM750 sahaja. Dahulu nilai kita tinggi berbanding baht sehingga mula jatuh dari RM9, RM8, RM7 dan tidak mustahil tinggal RM6 bagi 100 baht selepas ini,” katanya.

Baru-baru ini, Utusan Malay­sia melaporkan, fenomena Hat­yai yang menyaksikan rakyat dari negara ini bercuti ke lokasi pelancongan popular di nega­ra Gajah Putih itu setiap kali musim cuti perayaan dan seko­lah sebelum ini sedikit suram bersempena cuti Tahun Baharu Cina.

Tinjauan di Hatyai pada hari raya pertama Tahun Baharu Cina mendapati suasana tidak seperti sebelum ini dengan pelancong tetap ada namun tidak semeriah dan serancak seperti musim cuti perayaan Krismas Disember tahun lalu.

Pada masa itu, orang ramai khususnya rakyat negara ini penuh sesak di lokasi-lokasi pelancongan sekitar bandar berkenaan sehingga Hatyai digelar ‘mini’ Malaysia.

Tambah Izizam, kesan daripada nilai RM yang rendah berbanding Thailand itu juga turut memberi kesan kepada peniaga di Padang Besar yang kebanyakkan mengambil barang dari negara jiran berkenaan.

“Dari segi peniaga memang sedikit terkesan kerana mereka membeli barangan dari Thailand dan kalau harga barangan jualan terpaksa dinaikkan akan memberi kesan pula kepada pelancong.

“Namun setakat ini, difahamkan harga barangan di Padang Besar masih terkawal dan dari segi positifnya banyak barangan tempatan mula dijual di Padang Besar,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Muhamad Zaki Mutalib, 40, berkata, dia jarang menukar kembali baht kepada RM selepas pulang bercuti di Thailand kerana nilai terlalu rendah.

Katanya, ketika ini, jika tukar 1,000 baht, duit Malaysia hanya tinggal sekitar RM70 ke RM75 jauh berbeza berbanding dahulu.

“Dahulu, orang Thailand berebut-berebut hendak tukar duit Malaysia sekarang sudah tidak lagi kerana nilai yang lebih rendah. Nilai itu mula jatuh sejak 10 tahun kebelakangan ini.

“Bagaimanapun, harga makanan dan barangan di Thailand yang jauh lebih murah menyebabkan kita tidak terlalu merasainya. Walaupun nilai mata wang kita rendah, namun harga barangan di Thailand masih lagi murah.

“Disebabkan itu juga, masih ramai lagi memilih untuk bercuti ke Thailand meskipun sudah tidak semeriah seperti sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×