TAIPING: Jabatan Muzium mahu menjadikan tengkorak kepala gajah jantan dalam peristiwa haiwan itu melanggar kereta api di Teluk Intan yang berlaku 130 tahun lalu sebagai koleksi warisan negara.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara (Permuziuman) Mohd Razaimi Hamat berkata, pihaknya sudah membuat permohonan itu tahun lalu untuk tengkorak kepala gajah dan gerabak kereta api yang dirempuh haiwan itu diangkat sebagai koleksi warisan negara.
Menurutnya, kedua-dua artifak berkenaan mempunyai nilai sejarah yang tinggi khususnya kepada negeri Perak.
“Kita bertuah dan seharusnya berbangga kerana kedua-dua artifak ini masih tersimpan dan terjaga dalam keadaan sempurna.
“Kita harap usaha ini akan berjaya berdasarkan justifikasi yang kita telah diberikan terutama membabitkan nilai sejarah yang terdapat pada kedua-dua artifak tersebut.
“Sekiranya berjaya dinobatkan sebagai objek warisan kebangsaan, kedua-dua artifak tersebut akan mendapat kelebihan terutama daripada peruntukan bagi proses pemuliharaan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada perasmian Pameran Zoologi, Seni Taksidermi di Muzium Perak di Taiping di sini hari ini.
Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri,Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee.
Peristiwa serangan gajah di Sungai Kerawai di Teluk Intan ketika itu dikenali Teluk Anson, berlaku pada 17 September 1894, ketika kereta api wap tiga gerabak dirempuh sekawan gajah jantan.
Akibat rempuhan, seekor gajah jantan mati di tempat kejadian dan seorang pemandu kereta api terkorban.
Sebuah memorial dibina di tapak kejadian sebagai mengenang peristiwa yang tidak pernah berlaku sejak kereta api diperkenalkan di negara ini.
Sementara itu, Sze Yee berkata, kerajaan negeri mengalakkan pusat-pusat pelancongan bersejarah yang mempamerkan khazanah sejarah seperti muzium melakukan penterjemahan pelbagai bahasa dalam bentuk pendigitilan.
Menurutnya, ini bagi menarik pelancong dari luar negara untuk berkunjung ke negeri ini sempena Tahun Melawat Perak 2024.
“Jika diwujudkan penterjemahan pelbagai bahasa secara digital di setiap tempat barang pameran, ini akan memudahkan pelancong dari luar negara memahami segala informasi berkenaan barang yang dipamerkan,” katanya. – UTUSAN








