PETALING JAYA : Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud disahkan berada dalam keadaan selamat selepas didakwa dibawa keluar dari sebuah hospital swasta kelmarin.
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, Abdul Taib kini berada di kediaman beliau di Kuching, Sarawak bersama isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.
“Siasatan masih diteruskan oleh polis,” katanya di sini.
Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian mendakwa Abdul Taib dibawa keluar dari sebuah hospital swasta.
Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain. – UTUSAN