SHAH ALAM: Dua suspek lelaki bagi dua kes bunuh berasingan di daerah ini semalam direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, tempoh reman itu diperoleh pihaknya daripada Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.
Menurutnya, dua lelaki berusia 33 dan 37 tahun itu masing-masing melibatkan kes membunuh ibu serta teman wanita.
“Mahkamah membenarkan tempoh reman ke atas mereka bermula hari ini sehingga 6 Mac depan (Rabu). Kebenaran berkenaan diperoleh daripada Majistret Farah Rosnan,” katanya ketika kepada pemberita.
Tambah Mohd. Iqbal, siasatan lanjut dua kes itu masih dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Utusan Malaysia melaporkan seorang wanita menemui ajal selepas dipukul oleh anaknya sendiri dengan sepasang safety boot dan tukul besi di rumah mereka di Kampung Jawa, Klang semalam.
Polis menerima laporan daripada orang awam kira-kira pukul 9.45 pagi dan mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham.
Siasatan mendapati mangsa merupakan perempuan berusia 56 tahun, seorang suri rumah dan tinggal bersama suami dan anak lelaki iaitu suspek kes tersebut.
Dalam kes berasingan, seorang wanita maut apabila jatuh dari tingkat 23 sebuah kondominium selepas ditolak kekasihnya sendiri dalam kejadian di Setia Alam di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.08 malam itu, mangsa merupakan warga Thailand berusia 32 tahun kemudiannya ditemui tertiarap di tingkat tujuh kondominium itu.
Difahamkan, semasa kejadian suspek lelaki tempatan berusia 37 tahun tersebut berada di bawah pengaruh dadah sewaktu meletusnya pergaduhan itu. – UTUSAN










