SHAH ALAM: Penat lelah selama enam bulan membangun model kereta Formula 1 (F1) berbayar apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Undang Musa Al Haj dari Negeri Sembilan dinobat sebagai Juara Kebangsaan dalam ‘National Final F1 in Schools’, hari ini.
Malah, Pasukan Energeteen, Kelab F1 sekolah luar bandar itu dijangka menyertai World Final F1 in Schools yang dijadualkan berlangsung pada November tahun ini.
Ketua pasukan, pelajar tingkatan 5, Aqif Zafran Lubis Khalid Lubis, berkata, kemenangan itu amat manis bagi mereka sepasukan selepas meletakkan komitmen penuh terhadap penyertaannya sejak September tahun lalu.
“Selama enam bulan kami beri tumpuan, pergi ke sekolah pada musim cuti, balik pukul 1 atau 2 pagi untuk bangunkan model kereta F1 dinamakan ‘Sang Rimba’ yang punyai ciri aerodinamik, stabil, ringan dan sebagainya.
“Dalam pasukan kami ada jurutera pereka, jurutera pembuatan, pemasaran dan sebagainya yang ilmunya dikongsi dan dipelajari bersama-sama untuk bangunkan model kereta F1.
“Tambah pula, kami berada di luar bandar, jauh dengan pakar dan profesional dalam kejuruteraan berkaitan kereta lumba atau F1 untuk dijadikan rujukan. Jadi, kami pergi institusi pengajian tinggi (IPT) jauh dari sekolah untuk dapatkan pandangan profesional,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Terdahulu, SMK Dato’ Undang Musa Al Haj atau dikenali sebagai ‘SMKDUMA’ bersaing dengan 40 buah sekolah sebelum muncul juara, malah pasukan itu turut memenangi tempat kedua kategori Knockout Race Competition serta menerima Anugerah ‘Scrutineering’
Selain Aqif Zafran Lubis, seramai enam orang dalam pasukan Sang Rimba iaitu Aisy Darwish Abdul Razak, Airys Darwisha Abdul Razak, Sasitrra Devi Gopinathan, Nur Nabilah Huda Mohd. Izwan dan Nur Qistina Fatihi Muhammad Taufik.
Mereka menerima bimbingan daripada guru penasihat, Mohd. Faizal Mohd. Derus dan Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Norhaida Shahadan.
Dalam pada itu, Mohd. Faizal memberitahu, pasukannya sanggup pergi ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk belajar tentang kereta F1.
“Sekolah kami di luar bandar, jauh dari kepakaran dan profesional, dengan sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pemimpin dan komuniti setempat, kami pergi ke universiti berkenaan untuk membuat rujukan dan menilai setiap kali model dihasilkan.
“Model yang dihasilkan dirujuk ke setiap universiti dan dari situ tambah baik serta inovasi dilakukan supaya menepati ciri-ciri kejuruteraannya seperti aerodinamik, stabil, pantas dan sebagainya,” jelasnya.
Sementara itu, menurut Norhaida, Kelab F1 SMKDUMA menjadi antara persatuan pelajar yang diberikan tumpuan untuk perkembangan dan perkongsian ilmu berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Pengetua, Norazman Mohd. Amin dan pengurusan sekolah memang memberi sokongan penuh kepada Kelab F1 SMKDUMA melalui Program Kebitaraan Sekolah yang membolehkan perkongsian tentang F1 dibuat bersama seluruh 634 orang pelajar,” ujarnya.
National Final F1 in Schools dianjurkan sejak Sabtu lalu dan menjadikan UiTM sebagai tuan rumah menghimpunkan 289 pelajar dari pelbagai sekolah di seluruh negara dalam pertandingan yang menawarkan 30 hadiah pencapaian dan anugerah. – UTUSAN










