ALOR SETAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup 42,000 kilogram (kg) beras hancur dengan menggunakan sebuah treler di Jalan Kubur Panjang, Pokok Sena dekat sini pada 6 Februari lalu.
Pengarah Kastam negeri, Nor Izah Abd. Latiff berkata, Cawangan Penguatkuasaan Alor Setar menerima maklumat tentang aktiviti terbabit sebelum berjaya mengesan dan mengekori sebuah treler bernombor pendaftaran tempatan.
Jelasnya, beras hancur itu dipercayai diseludup masuk dari Thailand untuk dicampur dengan beras tempatan atau beras yang diimport bagi mengaut keuntungan lebih.
“Hasil risikan mendapati treler itu memasuki Malaysia dari Thailand melalui pintu sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Durian Burung dengan mengikrarkan sebagai tidak bermuatan.
“Setelah melepasi kawalan sempadan, anggota penguat kuasa bertindak mengekori treler tersebut dari ICQS Durian Burung dan menahannya di tepi jalan berhampiran Pondok Bukit Lada, Jalan Kubur Panjang, Pokok Sena,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pemandu treler bagaimanapun bertindak melarikan diri dan cub dikejar anggota, namun gagal diberkas.
Menurut Nor Izah, pasukan itu yang memeriksa kenderaan terbabit menemukan 840 beg guni berisi beras hancur seberat 42,000 kg dengan anggaran nilai rampasan RM105,000.
Sementara itu, dalam kes berasingan, JKDM Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam berjaya menggagalkan penyeludupan beras yang dipercayai juga dari negara jiran menerusi pintu masuk sama.
Kata beliau, bertindak atas maklumat, pasukan menahan dua lori bernombor pendaftaran tempatan dengan muatan beras berhampiran simpang Hospital Kuala Nerang, dekat sini pada 4 Februari lepas.
“Kedua-dua pemandu lori terbabit merupakan warga tempatan dan mereka ditahan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua buah lori tersebut, pasukan menjumpai 12,000 kg beras yang dianggarkan bernilai RM30,000 di dalam setiap lori tersebut,” katanya. -UTUSAN











