Selangor perlu pertimbang lantik guru gantian KAFA - Utusan Malaysia

Selangor perlu pertimbang lantik guru gantian KAFA

PN Bersatu
MOHAMED SUKRI OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor diminta mempertimbangkan pelantikan guru sementara Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) bagi menggantikan guru yang cuti bersalin di negeri ini.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya memohon pertimbangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyediakan peruntukan itu kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Jelas beliau, pihak pentadbiran sekolah ketika ini terpaksa membuat jadual waktu giliran dengan menggunakan guru sedia ada. 

“Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau pengurusan sekolah sebagai contoh boleh membuat lantikan guru dan membayar mengikut jam atau hari.

“Kerajaan negeri dicadang menyalurkan sedikit peruntukan bagi membayar elaun guru ganti di sebalik pengumuman tambahan rizab negeri sebelum ini,” katanya hari ini.

JAIS sebelum ini mengeluarkan surat mengenai tiada lantikan pengganti guru KAFA bersalin berkuat kuasa serta merta.

Surat bertarikh 14 Februari itu turut menyatakan permohonan guru KAFA cuti bersalin 60 hari perlu dipanjangkan kepada jabatan untuk kelulusan.

Tambah Mohamed Sukri, guru ganti sementara itu penting bagi mengurangkan beban guru KAFA dan sekolah tidak perlu sukar mencari dana untuk guru ganti.

“JAIS diharap menyemak semula ketetapan dikeluarkan dan berbincang dengan kerajaan negeri bagi memudahkan urusan guru berkenaan.

“Kebajikan guru agama mesti menjadi keutamaan kerajaan negeri dan pendidikan agama tidak boleh lumpuh di negeri maju seperti Selangor,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN