PETALING JAYA: Lebih 11,000 rakyat Palestin di Gaza memerlukan rawatan kecemasan segera di luar wilayah tersebut ekoran sektor kesihatannya kini semakin tenat akibat kezaliman rejim Zionis yang berlanjutan sejak Oktober tahun lalu.
Keadaan semakin meruncing apabila pintu sempadan Palestin-Mesir di Rafah dibuka hanya untuk kemasukan bantuan kemanusiaan menyebabkan hak rakyat Palestin di Gaza bagi mendapatkan rawatan dinafikan.
Tidak berakhir di situ, penggunaan katil di hospital yang masih beroperasi di seluruh Gaza di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga sudah melebihi keupayaannya dengan peningkatan 340 peratus setakat hari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Aqsa Malaysia, Dr. Sharif Abushammala berkata, keseluruhan sektor kesihatan di Gaza sendiri kini sudah tenat bahkan beroperasi dalam serba kekurangan.
Menurutnya, segala peralatan dan ubatan untuk merawat pesakit yang semakin hari semakin ramai sudah pun mencapai tahap kritikal.
“Sejak bermulanya kekejaman tentera Israel terhadap Gaza, lebih 20,000 bayi dilahirkan tanpa mendapat sebarang rawatan sewajarnya disebabkan fasiliti kesihatan di wilayah tersebut tidak mampu beroperasi seperti biasa.
“Seramai 4,800 pesakit memerlukan rawatan setiap hari ditambah pula dengan 1,043 pesakit perlu mendapatkan rawatan dialisis segera. Ini adalah mimpi ngeri pada sektor kesihatan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengulas lanjut, Sharif berkata, rawatan kesihatan terhadap hampir 10,000 pesakit kanser di Gaza juga terganggu akibat peperangan dan institusi kesihatan pula menjadi sasaran rejim Zionis.
Katanya lagi, seramai 150,000 pesakit kronik yang memerlukan rawatan susulan namun tidak dapat berbuat demikian bahkan bekalan ubatan mereka kini sudah tidak lagi ada untuk menampung jumlah mereka.
“Lebih membimbangkan ketika ini, jangkitan hepatitis C kian merebak dalam kalangan rakyat Palestin di Gaza yang jumlahnya mencecah 1.8 juta orang di selatan wilayah tersebut. Setakat ini lebih 1,000 orang dikesan menghidapnya namun tiada apa boleh dilakukan.
“Pihak berkuasa kesihatan di Gaza khsusunya di sebelah utara bergelut untuk mengoperasikan semula hospital-hospital di kawasan tersebut supaya dapat memberikan perkhidmatan kesihatan kepada 500,000 orang yang masih berada di sana,” katanya.
Sejak 7 Oktober lalu, seramai 339 petugas kesihatan termasuk doktor dan jururawat terbunuh dalam serangan rejim Zionis ke atas Gaza dengan 356 lagi mengalami kecederaan parah.
Seramai 100 petugas kesihatan dilaporkan turut diculik dari hospital ketika bertugas termasuk berpangkat pengarah yang berkhidmat di Hospital Al-Shifa, Hospital Indonesia dan Hospital Al-Awda.
Sebanyak 30 hospital, 53 pusat kesihatan dan 150 fasiliti kesihatan berhenti operasi sepenuhnya selepas menjadi sasaran rejim Zionis. – UTUSAN











