Sayembara yang terbalas

Sayembara yang terbalas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Azan asar berkumandang di Masjid Saidina Ali, Kampung Kuala Paya. Shahril yang baru melintas masjid jamek kampung itu terus membelok ke kanan untuk menuju ke rumah orang tuanya.

eta yang dipandu berjalan perlahan. Lebih berhati-hati khususnya jalan di kampung. Kanak-kanak kecil kadang-kala riang berlari di tengah jalan tanpa pemantauan daripada ibu bapa mereka.

Sememangnya di kampung tiada apa yang perlu dirisaukan. Kes penculikan pun tidak pernah kedengaran di kampung itu.

Selain itu, jalan kampung yang berturap itu kadang-kalanya dilintas oleh ayam dan itik peliharaan yang sengaja dibiarkan makan di merata tempat. Waktu senja nanti, barulah haiwan peliharaan itu pulang ke reban milik tuannya.

Shahril mengangkat tangan apabila bertembung dengan penduduk kampung yang menaiki motosikal. Senyuman dilukis lembut. Senyuman Shahril dibalas lalu Shahril meneruskan perjalanan ke rumah orang tuanya.

Hatinya yang terpaut rindu sudah tidak sabar lagi mahu menggenggam tangan orang tuanya lalu dikucup lembut tanda hormat Shahril pada orang yang membesarkan dirinya hingga dia berjaya.

Kereta diparkirkan di bawah garaj yang kosong. Kereta Vios hitam milik ayahnya nampak segak di bawah bumbung.

Kereta milik abang sulung serta adik perempuannya tidak kelihatan. Mungkin tidak pulang ke kampung buat masa itu, sibuk dengan kerja yang tidak pernah habis di pejabat.

Tapi hal itu tidak mendatangkan masalah baginya, sekurang-kurangnya dia menjadi wakil kepada adik-beradik lain untuk melawat orang tuanya itu.

Shahril keluar dari kereta lalu menarik beg sandangnya. Pintu kereta dikunci dengan menekan punat di pemegang pintu pemandu.

Baju yang sudah berkedut ditarik ke bawah agar nampak lebih kemas dan tampan. Dia menuju ke pintu utama rumah yang tersergam indah itu.

“Assalamualaikum, emak, ayah,” seru Shahril lalu memulas tombol pintu rumah itu.

Sunyi sepi. Ruang tamu juga bergelap. Shahril berjalan menuju ke dapur. Mungkin emak dan ayahnya tidak dengar salam yang diberikan.
“Mak?” Shahril menjengah ke dapur.

Kedua orang tuanya sedang menjamu selera di meja makan. Patutlah tidak mendengar salam.

Ayahnya pula sedang menonton drama Indonesia di telefon. Dengan suara yang kuat, teramat sukar untuk ayahnya mendengar salam tadi.

“Haa… Shahril. Bila sampainya? Tak dengar pun kau bagi salam,” ucap Mak Cik Rohayah.

“Baru sampai, mak. Tadi kita bagi salam, mak ayah tak dengar agaknya,” balas Shahril sambil mencium tangan Mak Cik Rohayah yang berselaput dengan nasi dan seterusnya mencium tangan ayahnya pula.

“Kau seorang saja?” Tanya Pak Cik Ghazali.

“Ya, seorang saja. Syafikah teman mak dekat rumah. Tiada siapa yang balik. Jadi, kita balik seorang sajalah,” balas Shahril yang menggunakan perkataan kita sebagai kata ganti nama diri ketiga.
“Makanlah. Mak baru nak makan ini,” pelawa Mak Cik Rohayah.

Shahril menarik kerusi meja makan lalu melabuhkan punggungnya di kerusi plastik itu. Dia menggeleng dan lantas memberi senyuman pada Mak Cik Rohayah.

Dia masih kenyang. Sebelum bertolak, Syafikah menyuruh dia makan dahulu supaya dalam perjalanan dia tidak kelaparan.

“Mak mentua kau sihat?” Tanya Pak Cik Ghazali.

“Alhamdulillah, sihat. Mak kirim salam pada mak dan ayah.

“Kita nak ke hadapan sekejap, nak kemas ruang tamu. Macam berhabuk sangat pula. Penyedut hampagas, mak letak dekat mana?” Tanya Shahril sudah pun bangun dari kerusi.

Mak Cik Rohayah menuding ke dinding bilik yang terdapat penyidai baju jenis kayu yang berdiri tegak.

Pak Cik Ghazali terus menyambung menonton drama kegemarannya. Entah episod ke berapa ratuslah ayahnya tonton. Jarang sekali drama Indonesia menyediakan episod pendek.

Tidak seperti drama di Malaysia. Jauh sangat perbezaannya. Boleh jadi modal yang dikeluarkan oleh penaja penerbit tinggi dan disebabkan itulah drama di negara seberang itu boleh ditayangkan beratus malahan ada juga yang beribu episod.

“Eh, tak payahlah kemas. Nanti mak kemas.” Mak Cik Rohayah menegah Shahril daripada mencapai penyedut hampagas itu.

“Haa… tak apalah, mak. Mak sambunglah makan dulu. Lepas makan, mak rehat. Mak bukan sihat sangat tu. Sementara kita ada di rumah, bolehlah kemas sekejap.”

Penyedut hampagas yang bersandar di dinding dicapai lalu dibawa ke ruang tamu.

Plug dipasangkan. Butang hidup ditekan. Penyedut hampagas itu mula menyedut debu-debu di lantai dan permaidani di ruang tamu.

Dari satu sudut ke satu sudut Shahril mengemas. Mainan-mainan anak buah dan anaknya sendiri yang bersepah yang tidak sempat dikemas dimasukkan ke dalam bakul. Bakul mainan itu diangkat dan diletakkan di dalam bilik.

Kemudian, Shahril ke bilik air pula selepas selepas menyedut debu di ruang tamu. Dia menarik baldi yang terbalik lalu diisikan sabun pencuci dan mencapai batang mop yang tergantung di penyangkut.

Air dari kolah dimasukkan ke dalam baldi. Buih-buih mula naik ke atas. Batang mop dihenyak-henyak ke dalam baldi.

Shahril meneruskan kerja-kerja mengemas dengan mengemop lantai pula. Dari ruang tamu hingga ke beranda.

Semua sudut dia mop hinggalah dia berpuas hati. Dia tidak sampai hati mahu melihat emaknya membuat kerja-kerja berat dengan keadaan emaknya yang kurang sihat.

“Sudahlah Shahril, penat mak tengok kau dari tadi. Kau baru saja sampai.”

Mak Cik Rohayah berdiri di birai pintu sambil memegang daun pintu yang ternganga.

“Mana ada penat. Bukan pikul balak pun. Mop saja. Hampir siap ni,” balas Shahril.

“Dekat rumah mentua kau, kau macam ini juga?” Tanya Mak Cik Rohayah dan persoalan itu hanya mendapat anggukkan saja dari Shahril.

Usai mengemas ruang tamu dan beranda, Shahril kembali masuk ke dalam rumah dan mengemas baldi dan mop yang sudah digunakan tadi. Dia kemudiannya masuk ke dalam bilik tidurnya dan berbaring di katil.

“Berapa mak nak bayar kau ni? Upah kemas rumah.” Tiba-tiba Mak Cik Rohayah muncul di hadapan pintu bilik tidurnya.

Shahril yang sedang bermain dengan telefon bimbitnya terkejut dan terus duduk bersila di atas katil. Telefon bimbit diletakkan di sisi bantal.

“Lima ribu boleh tak, mak?” Gurau Shahril.

Terkedu Mak Cik Rohayah apabila Shahril meminta upah semahal itu.

Berubah air muka Mak Cik Rohayah. Emaknya itu kemudiannya duduk di birai katil. Saja nak berborak dengan anak keduanya itu.

“Mak mana ada sebanyak itu nak bayar kau.”

“Gurau sajalah, mak. Semua percuma. Tak payah dibayar.” Shahril ukir senyum.

“Rumah mentua kau kat sana, kau buat perkara yang sama ke macam dekat sini. Mengemas rumah,” Tanya Mak Cik Rohayah lagi.

Dia sememangnya tidak berpuas hati apabila ulas bibir Shahril tidak menjawab soalannya tadi.

Anggukkan daripada Shahril tadi langsung tidak memberikan dia jawapan sebenar. Dia mahukan suara anak keduanya itu keluar dan menjawab ‘ya’ bagi soalannya itu.

“Ya, mak. Ala, kemas pun pakai penyedut hampagas je. Sedut sana, sedut sini, bersihlah. Bukan susah mana pun.”

“Baguslah kau ni. Tentu mak mentua kau sayang kau.”

“Dah jadi menantu kesayangan pun.” Shahril tergelak kejap lalu kembali diam.

Risau kalau kata-kata itu menyentuh hati tua emaknya. Manalah tahu emaknya cemburu melihat dia bahagia tinggal bersama besannya.

“Alhamdulillah. Memang patut emak mentua kau sayang kau.

“Eloklah jadi menantu kesayangan. Jangan jadi macam emak, embah pun tak sayang pada emak.”

Shahril memegang tangan emaknya erat lalu digosok belakang tangan emaknya yang cerah itu.

Dia tahu dan faham apa yang disampaikan oleh emaknya itu.

Dia juga kerap mendengar cerita emaknya yang tidak disayangi oleh mentua sendiri.

“Sudahlah, emak. Kisah lama. Embah pun dah tak ada. Kami bertigakan ada untuk sayang emak.

“Bukan bertiga dah, sekarang sudah menjadi sembilan orang yang sayangkan emak.

“Menantu saja dah dua orang, kemudian cucu dah empat orang. Satu hero, tiga heroin. Semua sayangkan emak.”

Mak Cik Rohayah tersenyum. Dari tubir mata sudah nampak genangan air mata yang bila-bila saja akan gugur ke pipi yang semakin berkedut. Shahril ukir senyum panjang.

Tiba-tiba telefon bimbit Shahril berbunyi. Dengan pantas, Shahril mencapai telefon bimbit itu dan melihat jikalau ada-apa panggilan atau pun mesej dari isterinya.

Ikon surat kelihatan di atas skrin telefon. Shahril menekan ikon surat itu lalu membaca isi kandungan emel yang diterima.

Tidak semena-mena Shahril tersenyum lebar. Dia membaca sekali lagi untuk memastikan dia tidak salah baca. Ulas bibirnya lebar melukis senyuman.

“Kenapa tu?” tanya Mak Cik Rohayah.

“Dapat e-mel dari penerbit. Hari itu, kita ada sertai pertandingan menulis novel. Dekat sini tulis, kita menjuarai pertandingan menulis novel itu. Hadiahnya RM5,000.”

“Alhamdulillah, tahniah anak emak.”

Shahril memandang wajah cerah emaknya. Wajah emaknya sebiji dengan wajah arwah datuknya. Datuknya juga pernah dijaga oleh emak dan ayahnya ketika dia bersekolah menengah di luar daerah.

Mungkin kali ini, khidmat dia pula yang diberikan Tuhan untuk menjaga orang tuanya itu.

“Baru tadi bergurau dengan mak minta RM5,000. Sekarang dah terbalas, mak. Kita bergurau saja, tapi Tuhan bagi betul-betul,” ucap Shahril.

“Itu menunjukkan kau betul-betul ikhlas tolong emak walaupun emak dah melarang tadi.”

“Hal kecil saja, mak. Malam sikit nak sedut habuk dalam bilik ini. Esok nak buang apa-apa yang patut dibuang. Macam-macam barang ada dalam rumah ni.

“Yang tidak digunakan lagi, elok saja dibuang. Tidak usah disimpan lagi. Buat semak rumah saja.”

Mak Cik Rohayah hanya mendiamkan diri. Membiarkan saja anaknya itu mengemas. Asalkan rumah kediaman mereka kelihatan bersih. Malu dengan jiran tetangga melihat barang-barang yang bersepah di luar rumah.

“Mak nak rehat sekejap. Kau jangan lupa makan nanti. Penat ayah kau masak tadi.”

“Baiklah. Nanti kalau lapar, kita makan.”

Dalam gurauan tadi, Tuhan nak berikan yang sebenar. Walaupun dia tidak terfikir akan balasan itu, dia tetap ikhlas membantu orang tuanya apabila memikirkan dosa-dosa dia dengan orang tuanya selama dia hidup sama ada dia perasan atau pun tidak.

“Shahril sayang emak. Shahril takut kalau emak…” Kata-kata itu dimatikan saja di situ.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×