Saya cadangkan SPRM ambil alih KDA FC - Sanusi

Saya cadangkan SPRM ambil alih KDA FC – Sanusi

ISU tunggakan gaji melanda pasukan bola sepak KDA FC yang menjejaskan persiapan menghadapi musim baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor secara sinis mencadangkan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil alih pengurusan kelab bola sepak Kedah Darul Aman (KDA FC).

Ini berikutan, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu, siasatan SPRM kononnya berlaku rasuah dalam pengurusan badan induk bola sepak negeri itu telah menggagalkan usaha mereka menarik penaja kepada pasukan bola sepak Kedah.

Menurutnya, KFA sudah mengatur rancangan untuk mencari dana kepada pasukan tetapi terpaksa dibatalkan kerana siasatan SPRM sebelum ini didakwa menyebabkan penaja berpotensi tidak berani untuk bekerjasama.

“Orang bukan faham sangat KFA, KDA FC. Orang tahu pasukan bola saja. Bila dibuat tangkapan lepas itu dituduh ada rasuah padahal tak ada, maka penaja-penaja kepada KDA FC pun lari.

“Depa kata ada rasuah. Jadi saya cadangkan SPRM ambil alih pasukan bola sepak KDA FC. Dah hangpa pandai sangat pi tadbir pasukan bola tu, bayar gaji,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, budaya menyumbang dana kepada industri sukan melalui persatuan bola sepak negeri-negeri sudah bermula sejak 1924.

“Saya tahu ada ketika dahulu bila tak ada duit terpaksa tebang kayu balak maka dapatlah imbuhan untuk biaya pasukan. Tapi bila semua ini dikacau seolah-olah nak gambarkan keadaan kita buruk, maka bola pun terima nasib.

“Saya beritahu awal dulu lagi depa kata saya suka cari gaduh. Siapa yang buat tetapan terlalu tinggi sampai ke peringkat ini sehingga pasukan tak boleh bayar gaji, negeri-negeri lain tak boleh ikut, kalau itu tidak dilakukan saya rasa keadaan ini (tunggakan gaji) tak berlaku.

“Kita (KFA) buat elok dah, saya pun dah ambil alih sejak empat tahun dulu boleh selesai masalah hutang, boleh mula bayar gaji tiba-tiba pi dok kacau macam tu, rosak habis semua sampaikan sekarang ini tak boleh bayar gaji,” katanya.

Katanya, beliau yakin Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan kehilangan penyertaan KDA FC pada musim depan yang bakal bermula Mei ini sekiranya keadaan itu berterusan.

Mengulas tunggakan gaji dihadapi pemain dan pengurusan KDA FC ketika ini, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak boleh mencampuri urusan kelab itu kerana ia telah diswastakan dan menjadi sebuah syarikat.

Namun katanya, beliau dimaklumkan bahawa pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd. Daud Bakar sedang bertungkus-lumus cuba menyelesaikan masalah tunggakan gaji dan berharap ia diselesaikan segera.

“Masa pasukan di bawah KFA lagi saya sudah tegaskan tidak akan guna duit kerajaan negeri untuk bayar gaji kepada pemain sebab ini duit orang ramai. Bila sudah diswastakan menjadi tanggungjawab syarikat itu lah,” katanya.

Pada 5 Januari lalu, empat lelaki termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KFA ditahan kerana disyaki meminta serta menerima wang rasuah lebih RM6 juta, empat tahun lalu.

Arena bola sepak Kedah bertambah panas dengan isu tunggakan gaji pemain Liga Super dan pasukan KDA FC B yang tertunggak sehingga empat bulan sebelum disusuli dengan peletakan jawatan CEO KDA FC, Khamal Idris Ali. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN