MELAKA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai Jualan Agro Madani sebanyak RM4 juta tahun ini di Melaka.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong berkata, sasaran itu yakin dicapai selepas nilai jualan program untuk tahun lalu melepasi sasaran dan telah memanfaatkan sebanyak 684,000 isi rumah, sejak dilancarkan pada 16 April 2023.
Menurutnya, prestasi jualan Agro Madani sehingga 31 Disember lalu meningkat kepada RM5.96 juta berbanding nilai jualan disasarkan iaitu RM3.5 juta melalui 304 program dijalankan.
“Program ini merupakan penjenamaan semula Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang mendapat kerjasama daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM).
“Sehingga 18 Februari lalu, kita telah mencapai 61 program iaitu 15 peratus dengan nilai sasaran jualan untuk tahun ini sebanyak RM4 juta.
“Setakat ini kita sudah mencapai nilai jualan RM1.08 juta dan saya yakin sasaran yang diletakkan tahun ini mampu dicapai, mungkin ia melebihi sasaran tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jualan Agro Madani di sebuah pasar raya di Bandaraya Melaka di sini, semalam.
Tambah Chee Leong, FAMA melangkah setapak lagi dengan memperkenalkan program Agro Madani@Pasaraya dalam usaha mendekati lebih ramai pelanggan.
Menurutnya, ia merupakan salah satu alternatif pemasaran terus peserta program ladang kontrak.
“Sebanyak 15 lot niaga disediakan dengan penglibatan 12 usahawan tani dari negeri ini dengan menjual produk seperti buah-buahan, sayur-sayuran, produk Agromas, produk industri asas tani dan nurseri,” ujarnya. – UTUSAN










