Samun kedai emas, empat suspek diburu - Utusan Malaysia

Samun kedai emas, empat suspek diburu

TANGKAP layar kejadian rompakan kedai emas di Kota Warisan, Sepang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Polis kini memburu empat suspek susulan insiden samun sebuah kedai emas di sebuah pasaraya di Kota Warisan, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 8.14 malam itu, tiga suspek dilihat memasuki premis dengan senjata api sebelum melarikan pelbagai barangan kemas dalam kabinet pameran.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan awal mendapati, tiga suspek memasuki premis manakala, seorang lagi suspek menunggu di dalam kereta.

Beliau berkata, sebaik masuk ke dalam premis, suspek dilihat mengacukan pistol kepada pekerja kedai emas itu sebelum mengeluarkan barangan kemas dari kabinet pameran.

“Suspek menaiki kereta jenis Proton Waja dan meletakkan kereta di tepi bangunan pasar raya. Kesemua suspek memakai topi keledar, bersarung tangan, berjaket dan berseluar warna gelap.

“Suspek memasuki premis sekitar pukul 8.14 malam dan keluar dua minit kemudian sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta yang sedang menanti di luar bangunan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, tiada sebarang tembakan dilepaskan oleh suspek dalam kejadian itu manakala, anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Wan Kamarul Azran berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika didapati bersalah.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Asisten Superintendan Boby di talian 013-5557858 atau balai polis terdekat bagi menyalurkan maklumat.

Sebelum ini, satu video tular di media sosial memaparkan tiga lelaki bertopi keledar menyamun sebuah kedai emas di Kota Warisan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN