BALING: Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka didiami mereka musnah kira-kira 90 peratus dalam kebakaran di Kampung Temusu, Pulai, pada 5.24 petang semalam.
Fauziah Harun, 53, berkata, kediaman dua tingkat yang berusia 60 tahun itu terbakar ketika mereka tiada di rumah namun bersyukur apabila tiada kemalangan jiwa berlaku.
“Saya berada di tempat kerja di Kompleks Belia dan Sukan ketika kejadian dan segera pulang setelah menerima panggilan menyatakan rumah saya terbakar.
“Tiada apa yang dapat diselamatkan kerana tiada siapa di rumah, mujur anak-anak semuanya keluar ketika kejadian termasuk cucu yang baharu seminggu bersunat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Pegawai Penguasa Bomba Mohd. Jamil Mat Daud berkata, seramai tujuh anggota dibantu pasukan Bomba Sukarela Kuala Pegang dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati api sedang marak membakar sebuah rumah yang luasnya kira-kira 60×50 kaki persegi.
“Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya sekitar pukul 6 petang dan tiada kemalangan jiwa dalam kejadian terbabit,” katanya
Dalam pada itu, Mohd. Jamil turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan keadaan cuaca panas dan tidak melakukan atau membiarkan sebarang kebakaran terbuka dilakukan. – UTUSAN










