JOHOR BAHRU: Pelantikan Exco Kerajaan negeri yang baharu dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO tidak menjejaskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, rombakan kecil barisan Exco kerajaan negeri baharu bagi penggal 2024-2027 yang diumumkan minggu ini menoktahkan usul pembentukan Kerajaan Perpaduan dalam pentadbiran kerajaan negeri ini.
Tian Soon yang juga Ketua Pemuda MCA berharap Barisan Nasional (BN) dan PH di Johor ‘jalan terus’ dan bersama-sama mentadbir dan membangunkan negeri ini secara muafakat tanpa prejudis.
“Seperti yang dijelaskan Menteri Besar Johor bahawa Johor sudah adakan PRN (pilihan raya negeri) sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat. Kita juga hormati sistem demokrasi pada hari itu (PRN Johor) pada 12 Mac 2022.
“Johor ini sedikit unik, kita tidak panggil pembangkang sebaliknya pengimbang. Mereka (PH) turut menerima peruntukan daripada Menteri Besar Johor untuk jaga kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Harmoni Bersama Sempena Tahun Baru Cina Tahun 2024 di Tokong Fo Guang Shan, Taman Sutera Utama di sini hari ini. – UTUSAN









