CYBERJAYA: Inisiatif Projek Penggerak Wanita RISDA (Pewaris) yang digerakkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) diharap dapat menjadi pemangkin golongan wanita di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Pewaris akan turun ke bawah dan menyantuni kumpulan sasar dengan kaedah baharu yang bersesuaian.
“Saya juga mahu Pewaris bergerak seiring dengan program JELITA@RISDA yang dilancarkan tahun ini iaitu platform TVET (Pendidikan Dan Latihan Teknikal Dan Vokasional).
“Sebelum ini, saya sudah nyatakan bahawa pada 2027 Kolej RISDA akan melahirkan seramai 150,000 graduan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pewaris di sini, semalam.
Katanya, beliau yakin sasaran itu dapat dicapai kerana kursus yang dijalankan sesuai dengan kehendak pasaran dan mampu melahirkan tenaga kerja mengikut pasaran.
Sementara itu, Penasihat Pewaris yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, ketika ini, jumlah pekebun kecil RISDA di seluruh negara adalah seramai 553,000 peserta.
“Daripada jumlah peserta itu, hampir 33.2 peratus adalah pekebun kecil wanita.
“Penubuhan Pewaris diluluskan pada 5 Disember tahun lalu dan ia diwujudkan bagi membantu menggerakkan aspirasi Madani dan menambah baik ekonomi,” katanya.
Sebelum ini, RISDA memperkenalkan Program JELITA@RISDA ini yang direka khas bagi memberi peluang kepada wanita di kawasan luar bandar meningkatkan kemahiran dalam pelbagai sektor ekonomi.
Program JELITA@RISDA dilaksanakan secara kaedah PPT (Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu), iaitu berasaskan pengalaman kerja atau latihan secara formal yang dimiliki oleh peserta.
Selepas tamat program para peserta diberikan pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua dan Tahap Tiga mengikut kursus yang diikuti selaras dengan hasrat kerajaan membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030. – UTUSAN










