KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendakwa kira-kira 500 pekerja asing ditipu kartel majikan dan ejen didalangi warga asing melalui program rekalibrasi tenaga kerja (RTK) yang dilaksanakan pada 2021 dan tahun lalu.
Kesemua warga asing kebanyakannya daripada Bangladesh dan Indonesia itu didakwa ditipu ejen walaupun telah membayar sejumlah wang hingga mencecah RM7,500 namun status mereka didapati tidak sah.
Malah, kartel majikan warga asing itu didakwa menggunakan maklumat proksi atau isteri mereka yang juga warga tempatan bagi menubuhkan sebuah syarikat untuk menyamar sebagai majikan bagi menguruskan program RTK.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya mendapati kartel tersebut mengambil kesempatan dengan program rekalibrasi yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) bagi pemutihan pekerja asing yang pas lawatan kerja sementara (PLKS) telah tamat tempoh, tinggal lebih masa dan masuk secara tidak sah.
Katanya, melalui RTK 1.0, pendatang asing tanpa izin (PATI) perlu membayar RM500 namun terdapat majikan didalangi warga asing yang mengenakan bayaran berlipat ganda bagi menguruskan rekalibrasi.
“Malah, kerajaan menawarkan program yang sama iaitu RTK 2.0 secara percuma pada tahun lalu tetapi sindiket ini cuba mengaut keuntungan dengan mengenakan bayaran kepada warga asing.
“Bagi setiap proses, mereka dikenakan bayaran hingga ribuan ringgit, malah ada yang membayar sehingga RM7,500 seorang sedangkan jumlah hanya dikenakan sebanyak RM500.
“Bagaimanapun, PATI ini tidak mendapat PLKS- RTK yang dipohon malah majikan tersebut dipercayai tidak pun menghantar permohonan mereka untuk diproses Imigresen,” katanya dalam sidang akhbar di Sungai Besi hari ini.
Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, kartel yang didalangi warga asing itu dapati cuba memonopoli pekerja-pekerja asing sebagai majikan atau ejen.
Jelasnya, kartel tersebut akan mendaftarkan pekeria asing di bawah syarikatnya dan mengenakan bayaran tertentu bagi majikan tempatan yang ingin mendapatkan perkhidmatan pekerja asing.
“Ini kerana pekerja asing atau PATI lebih percayakan warga senegara daripada majikan tempatan hingga menyebabkan majikan warga asing mengambil kesempatan ke atas majikan tempatan.
“Mereka cuba monopoli semua sektor terutama pembinaan, kita (majikan tempatan) pula kena bayar pada mereka kalau hendak menggaji pekerja asing,” katanya,
Tambah Hishamuddin, pekerja asing itu bukan sahaja ditipu dengan dijanjikan pekerjaan malah turut ditindas oleh majikan sendiri apabila tidak dibayar gaji selain diugut untuk dibatalkan PLKS dan diperlakukan seperti haiwan.
Dalam pada itu, Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan berkata, penipuan yang dilakukan sindiket warga asing itu merupakan satu jenayah pemerdagangan manusia.
Kata beliau, warga asing dijanjikan tawaran pekerjaan dan membayar sejumlah wang untuk masuk ke negara ini tetapi ada diseludup masuk atau diperdaya sindiket.
“Malah, berkaitan isu penipuan rekalibrasi ini, pekerja-pekerja asing tidak dapat membuat laporan walaupun kehilangan wang dengan jumlah yang banyak akibat ditipu kerana mereka tidak dapat pemutihan atau masih sebagai PATI selain ada yang pasport dipegang sindiket.
“Justeru, kita memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi peluang kepada pekerja asing membuat laporan dan melakukan siasatan terhadap penipuan ini,” ujar beliau. – UTUSAN










