Rakan nampak Fakhrullah tenggelam timbul

Rakan nampak Fakhrullah tenggelam timbul

ANGGOTA bomba membawa naik mangsa yang ditemukan lemas di Sungai Ketil, Kampung Kuala Merah di Baling. – UTUSAN/MUHAMAD FAKHRULLAH MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Rakan-rakan kepada remaja yang lemas ketika mandi-manda di Sungai Ketil, Kampung Kuala Merah, di sini terkilan apabila tidak dapat menyelamatkan mangsa dalam kejadian kelmarin.

Mohamad Irfan Md. Saad, 13, berkata, ketika itu dia bersama 10 lagi rakannya sedang mandi di sungai tersebut termasuk mang­sa, Muhamad Fakhrullah Mohamad, 15.

“Kira-kira pukul 5.30 petang setelah puas mandi kami bercadang hendak balik ke rumah, saya dan beberapa rakan naik ke tebing sungai manakala rakan-rakan lain ada yang masih mandi dan ada yang berenang ke tebing sungai.

MUHAMAD FAKHRULLAH MOHAMAD

“Sementara tunggu mereka naik, kami yang berada di tebing bersembang-sembang sebelum tiba-tiba terdengar rakan-rakan menjerit menyatakan Fakhrullah dan seorang lagi rakan kami sedang tenggelam ke dasar su­ngai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Menurutnya, dia ternampak Fakhrullah yang sedang terkapai-kapai dan tenggelam timbul di permukaan air sebelum akhir­nya sekelip mata hilang daripada pandangan.

“Rakan-rakan yang ada di te­bing sungai segera turun mencari Fakhrullah sementara saya mencari orang kampung untuk meminta bantuan.

“Ketika itu salah seorang rakan yang cuba menyelamatkan Fakhrullah turut hampir lemas tetapi nasib baik dia sempat di­selamatkan oleh kawan-kawan lain serta penduduk kampung,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Mo­hamad Naim Zulhairi Hasrul Sahizan, 22, berkata, dia berada di rumah yang berjarak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian sebelum terdengar jeritan minta tolong daripada sekumpulan re­maja selain adiknya berlari pu­lang untuk memberitahu ada orang lemas.

“Saya segera ke lokasi dan mendapati ramai budak lelaki sedang menjerit dan mencari rakan mereka yang disyaki lemas. Saya segera terjun untuk selamatkan mangsa, dalam masa sama terdapat salah seorang rakan mereka yang turut sama mencari mangsa hampir lemas,” katanya.

Tambahnya, dengan bantuan rakan-rakan mangsa, mereka sempat menarik remaja itu yang sudah lemah ke tebing, manakala Fakhrullah terus hilang.

Terdahulu, akhbar ini mela­porkan mayat Muhamad Fakh­rullah ditemukan tersangkut pa­da reba pokok bawah air di lokasi terakhir dia dilihat sebelum lemas kira-kira pukul 10 pagi ini.

Dipercayai, mangsa dan rakan-rakannya mandi manda di sungai berkenaan selepas mereka selesai menjalani latihan silat di rumah salah seorang penduduk kampung berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN