Polis tahan lelaki pukul, ugut ibu sendiri

Polis tahan lelaki pukul, ugut ibu sendiri

SEPASUKAN anggota polis dan bomba cuba menenteramkan keadaan sebelum menyelamatkan seorang warga emas daripada dibelasah oleh anak lelakinya sendiri yang berada di bawah pengaruh dadah di sebuah pangsapuri di Jalan Gangsa, George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun selepas dia bertindak ganas dengan mengugut serta memukul ibunya yang berusia 70-an di sebuah pangsapuri di Jalan Gangsa, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, lelaki terbabit berjaya ditahan polis selepas tiga jam dipujuk dan ditenangkan termasuk oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake.

Difahamkan, ketika kejadian, lelaki itu yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah turut memukul ibunya dengan menggunakan rotan serta mengancam mahu meletupkan tiga tong gas yang terdapat di rumah mereka.

Mengulas mengenai kejadian itu, Swee Sake berkata, insiden tersebut disedari oleh jiran mereka yang kemudian bertindak pantas dengan menghubungi pihak polis.

Katanya, selain polis, anggota bomba turut berada di rumah tersebut dalam usaha untuk menenteramkan keadaan selain cuba membantu menyelamatkan mangsa.

”Pada mulanya suspek enggan berkomunikasi dengan saya, namun, selepas saya bercakap menggunakan bahasa Hokkien, dia mula lembut hati dan selepas lebih sejam sesi memujuk, suspek akhirnya mula melepaskan ibunya untuk keluar dari rumah tersebut.

LEE Swee Sake (kanan) cuba berkomunikasi dengan suspek dalam usaha untuk menyelamatkan ibu kepada lelaki itu daripada menjadi mangsa anaknya di sebuah pangsapuri di Jalan Gangsa, George Town, Pulau Pinang

”Saya memujuk suspek agar membebaskan ibunya (mangsa) dahulu, barulah kami bertindak menyerbu rumah itu untuk menahan suspek. Dalam hal ini, polis mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Ibu suspek yang mengalami kecederaan ringan kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Swee Sake, kediaman keluarga itu dipercayai didiami oleh tiga beranak iaitu suspek, ibunya serta seorang lagi adik perempuan suspek.

Namun, kata Swee Sake, semasa kejadian, adik perempuan suspek yang berusia 30-an itu tiada di rumah mereka kerana keluar bekerja.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu. Justeru, polis percaya bahawa dia bertindak begitu kerana berada di bawah pengaruh dadah.

“Buat masa ini juga, suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan,” ujar beliau.

Terdahulu,  Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Shaari Mansor turut memaklumkan bahawa pihaknya juga menerima panggilan mengenai kejadian itu sebelum bergegas ke lokasi. 

Shaari berkata, ketika kejadian, beliau turut mengarahkan anggotanya untuk membuka satu aliran bertekanan tinggi sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan terjadinya kebakaran selepas suspek dikatakan cuba membuka dan meletupkan tong gas di rumah mereka.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN