'Polis palsu' dipenjara 30 tahun, 10 sebatan culik 3 rakyat Bangladesh

‘Polis palsu’ dipenjara 30 tahun, 10 sebatan culik 3 rakyat Bangladesh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan seorang penganggur yang menyamar sebagai polis menjalani hukuman penjara 30 tahun dan dikenakan 10 sebatan atas kesalahan menculik tiga warganegara Bangladesh untuk mendapatkan wang tebusan RM50,000, 10 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim menjatuhkan hukuman itu selepas mengetepikan hukuman penjara seumur hidup yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak rayuan akhir Suhaimi Alias, 47.

Panel itu berpuas hati rayuan penganggur tersebut tiada merit manakala sabitan terhadap perayu adalah selamat untuk dikekalkan.

Suhaimi dan dua lagi individu didakwa bersama-sama menculik Md. Gholam Faruque, Mohamed Rafik dan Sojib di sebuah pasar raya di Jalan Meru Klang, dekat sini pukul 4 pagi, 16 Mac 2014 bagi mendapatkan wang tebusan RM50,000.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, jika tidak dihukum mati dan boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu peguam Juwayriyyah Hassan yang hadir bersama-sama Nur Amirah Zulkefli berhujah bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan eleman penculikan seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 3.

Juwayriyyah berhujah, permintaan wang tebusan juga tidak dibuktikan dalam kes itu.

Bagaimanapun, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz bersama-sama Noorhisham Mohd. Jaafar berhujah, elemen penculikan dibuktikan apabila mangsa iaitu saksi utama mengecam perayu sebagai individu yang menculiknya.

Hujah pendakwaan, mangsa turut mengecam perayu yang melarikannya dari pasar raya dan dan mengurungnya dalam bilik hotel sebelum diselamatkan oleh polis.

Ujar Afzainizam, Mahkamah Rayuan juga telah meneliti keterangan bahawa wujud permintaan wang tebusan sebanyak RM50,000 yang mana sebanyak RM8,000 telah dibayar oleh salah seorang anak mangsa.

Pada 13 Julai 2023, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan terhadapnya.

Mahkamah Rayuan berpuas hati, wujud bukti kukuh berhubung niat bersama semua tertuduh termasuk Suhaimi untuk menculik mangsa.

“Mereka telah menyamar sebagai pegawai polis untuk membawa mangsa ke bilik hotel. Mangsa ditutup matanya dan dikurung di dalam bilik. Ini perbuatan jenayah,” kata Hakim Datuk P. Ravinthran yang mengetuai panel bersidang.

Hakim Ravinthran berkata, mahkamah mendapati hukuman 10 kali sebatan itu adalah wajar berdasarkan kepada fakta kes yang merujuk kepada tindakan Suhaimi dan rakan subahatnya menyasarkan golongan rentan seperti pekerja asing.

“Mereka menyamar sebagai pegawai polis dan menculik. Tebusan yang dituntut adalah jumlah yang besar,” ujar beliau.

Keterangan kes menyatakan, dua daripada tiga mangsa parah dipukul manakala pegawai yang membuat serbuan memberitahu mahkamah bahawa mangsa dihantar ke hospital dengan segera selepas diselamatkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN