PETALING JAYA: Keterangan bapa kanak-kanak autistik yang ditemukan lemas dalam sebuah tasik di Sea Park, di sini kelmarin, akan diambil polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, keterangan dua individu yang terdiri mereka yang menemukan mayat kanak-kanak itu telah pun diambil.
“Bapa mangsa akan diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas pengabaian dan kecuaian oleh penjaga.
“Siasatan semua aspek akan dijalankan, Doktor mengklasifikasikan punca kematian mangsa adalah mati lemas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan tiada unsur jenayah dikesan dalam kes kanak-kanak lelaki autistik berusia lima tahun yang ditemukan lemas di tasik itu.
Pihak polis menerima laporan daripada bapanya pada pukul 6.30 petang semalam selepas mendapati anaknya yang berusia lima tahun hilang.
Mangsa didapati hilang semasa bermain dengan kembarnya setelah bapanya tertidur ketika memerhatikan anak-anaknya di kawasan itu pada pukul 3.30 petang.
Pengadu telah cuba mencari anaknya yang hilang di sekitar kawasan tersebut namun masih tidak menjumpainya.
Susulan itu, orang awam telah menemui anaknya terapung di atas permukaan tasik tersebut lebih kurang dalam jarak anggaran empat meter daripada tebing tasik. – UTUSAN











