PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Grab Holdings Inc, Anthony Tan membincangkan bagaimana masyarakat dan perniagaan di Malaysia dapat meningkatkan peluang menjana pendapatan dengan syarikat gergasi tersebut.
Perbincangan tersebut dilakukan dalam kunjungan hormat Anthony terhadap Perdana Menteri sambil diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abd. Aziz, semalam.
Perdana Menteri berkata, Anthony merupakan usahawan kelahiran Malaysia yang berjaya mengasaskan syarikat teknologi yang disenaraikan di Bursa Saham Nasdaq, Amerika Syarikat.
Bahkan, beliau berkata, syarikat tersebut kini mempunyai modal pasaran sebanyak AS$12.34 bilion.
“Dalam pertemuan ini, saya telah dibentangkan potensi pelaburan oleh Grab di Malaysia. Ini terkait dengan perniagaan seperti Grab dan Jaya Grocer. Selain itu, pengoperasian GX Bank dijangka akan melibatkan pelaburan sebanyak RM1.5 bilion untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Kami juga membincangkan bagaimana Grab dapat berkembang dengan model perniagaan yang turut membantu masyarakat dan perniagaan Malaysia dalam meningkatkan peluang menjana pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mendoakan kecekalan Anthony menjadi pendorong kepada anak-anak Malaysia lain untuk menceburi bidang keusahawan teknologi.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut menerima kunjungan hormat Menteri Luar Negeri Uzbekistan, Bakhtiyor Saidov yang kini dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia.
“Kami berbincang mengenai usaha mempertingkatkan kerjasama dua hala Malaysia -Uzbekistan dan juga isu-isu serantau.
“Kami turut menyatakan komitmen untuk memperhalusi kerjasama terutama dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik kedua-dua negara,” katanya.
Anwar dan Bakhtiyor turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk kerjasama dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), situasi di Gaza serta perkembangan di Afghanistan.
“Saya percaya pertemuan akan memperkukuh dan mempertingkatkan lagi kerjasama antara Malaysia dan Uzbekistan,” katanya. – UTUSAN










