Petugas Aman Palestin syahid serangan Israel

Petugas Aman Palestin syahid serangan Israel

RABAB Zuhair Al Masri (kanan) dan Zulaikha Ali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang kakitangan Aman Palestin, Rabab Zuhair Al Masri terkorban selepas rumah beliau dibom jet pejuang Israel, Rabu lalu.

Menurut bekas Pengurus Jom Taja, Aman Palestin Berhad, Zulaikha Ali berkata, pihak Aman Palestin menerima berita tersebut tiga jam selepas beliau bertanya khabar dengan mangsa melalui platform Telegram.

“Sebagai orang yang banyak berkomunikasi dengan beliau, saya amat merasai kehilangannya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Aman Palestin.

Beliau berkata, Rabab merupakan staf Aman Palestin yang sangat aktif, dedikasi dan amanah dalam menguruskan sumbangan rakyat Malaysia dan Indonesia kepada anak yatim, keluarga miskin serta ibu tunggal di Gaza dan Tebing Barat.

“Bukan satu tugas mudah bagi Rabab bersama Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Gaza, Omar Seyam dan pasukan Aman Palestin Gaza untuk menggalas amanah itu,” katanya.

Rabab dan Omar Seyam menguruskan seramai 2,415 orang anak Yatim di Gaza dan 413 anak Yatim di Tebing Barat, menyantuni 302 keluarga miskin dan 909 keluarga ibu tunggal.

Tambahnya, kehilangan Rabab bukan sahaja dirasai oleh keluarga beliau, malah seluruh warga Aman Palestin dan rakyat Gaza keseluruhannya.

“Kami juga berharap agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyahbekukan akaun Aman Palestin memandangkan semakin ramai rakyat Palestin yang syahid dan bantuan yang sampai tidak diperoleh sepenuhnya,” jelasnya.

Beliau juga menyeru rakyat Malaysia terus menyokong perjuangan rakyat Palestin melalui doa yang berterusan serta apa sahaja bentuk sumbangan yang mampu diberikan. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×