Pesawat terhempas: Proses bedah siasat dijangka bermula 8 pagi - Utusan Malaysia

Pesawat terhempas: Proses bedah siasat dijangka bermula 8 pagi

Pesawat terhempas
TRAKN pikap yang membawa dua mayat mangsa pesawat terhempas dekat Kampung Tok Muda tiba di pekarangan Jabatan Forensik HTAR di Klang, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Proses bedah siasat dua mangsa pesawat terhempas dekat Jalan Benteng Kanan, Kampung Tok Muda, Kapar, di sini dijangka bermula selepas pukul 8 pagi hari ini di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Pegawai hospital berkenaan ketika ditemui memaklumkan, proses tersebut dilakukan selepas pengecaman identiti mangsa dibuat oleh ahli keluarga kepada mangsa Daniel Yee Hsiang Khoon, 30 dan Roshaan Singh Raina, 42.

“Kakitangan jabatan sudah memaklumkan kepada ahli keluarga supaya hadir ke sana awal pagi. Kita akan tunggu polis dan ahli keluarga mangsa tiba di sini, tetapi pukul berapa mereka sampai, itu tidak pasti,” katanya, malam tadi.

Tambahnya, ahli keluarga juga sudah dimaklumkan supaya tidak menunggu di hospital tersebut sehingga proses pengecaman bermula.

Terdahulu, mayat mangsa yang dibawa menggunakan trak pikap polis tiba di pekarangan Jabatan Forensik hospital berkenaan pada pukul 8.45 malam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail memberitahu, kedua-dua mangsa ditemukan dalam ruangan kokpit pesawat model BK160 Gabriel.

Menurutnya, bomba menggunakan kaedah sweeping dalam carian jarak 800 meter daripada serpihan pesawat sehingga ke bangkai utama dan penggalian secara manual dengan bantuan jentera berat.

“Penggalian secara manual dengan bantuan jentera berat berdasarkan cebisan-cebisan mayat ditemui sekitar bangkai pesawat. Kerja-kerja mencari mangsa itu turut dibantu oleh pasukan bomba sukarela, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Rela, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan penduduk sekitar.

“Pada pukul 7.06 petang mangsa pertama yang berada dalam kokpit dan tertimbus pada kedalaman dua meter berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan mangsa kedua pula pada pukul 7.17 petang,” katanya.

Beliau menambah, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan, komunikasi terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara pada pukul 1.35 tengah hari selepas tujuh minit berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Subang Skypark) bagi penerbangan rekreasi.

“Namun tiada panggilan kecemasan diterima. Siasatan awal di tempat kejadian mendapati pesawat menjunam ke dalam ladang kelapa sawit hingga menyebabkan 45 peratus badan pesawat terbenam di dalam tanah.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-32902222 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohamad di talian 012-9392198 untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Malah tegasnya, orang ramai dinasihat tidak menyebarkan sebarang rakaman dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN