KLANG: Polis setakat ini merekodkan keterangan lima individu berhubung nahas sebuah pesawat ringan yang terhempas di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Tok Muda, Kapar di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, kesemua individu itu melibatkan orang awam dan penduduk kampung tersebut.
“Mereka merupakan saksi-saksi kejadian yang melihat nahas berkenaan semalam. Lima keterangan sudah diambil bagi membantu siasatan kes berkenaan sehingga kini,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) petang ini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak menyebarkan gambar atau video mengenai nahas berkenaan.
“Jangan menghantar apa-apa bahan itu di media sosial bagi menghormati sensitiviti ahli keluarga. Selain itu, proses siasatan juga masih sedang berjalan dan kita tidak mahu ianya terganggu,” ujarnya.
Terdahulu, beliau memaklumkan hasil bedah siasat mendapati punca kematian dua mangsa adalah pelbagai kecederaan akibat nahas tersebut.
Pengecaman mayat mangsa turut dilakukan menerusi cap jari dan disahkan mereka disahkan berpadanan dengan identiti sebelum ini.
Mereka dikenalpasti sebagai mendiang Daniel Yee Hsiang Khoon, 31, iaitu juruterbang dan pembantu juruterbang, mendiang Roshaan Singh Raina, 43.
Mayat kedua-dua mangsa kepada keluarga hari ini namun tidak dipastikan lokasi pengebumiannya.
Semalam, kedua-dua mayat mangsa ditemukan tertimbus sedalam dua meter di dalam kokpit bangkai pesawat model BK 160 Gabriel tersebut, kira-kira pukul 2 petang.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan yang terhempas itu melibatkan dua mangsa.
Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pukul 1.28 bagi penerbangan rekreasi. Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada pukul 1.35 petang. – UTUSAN










