SHAH ALAM: Bangkai pesawat model BK160 Gabriel yang terhempas dekat Jalan Benteng Kanan, Kampung Tok Muda di Kapar, Klang kelmarin dilaporkan terbenam ke dalam tanah sehingga tiga meter.
Keadaan tersebut berlaku apabila pesawat yang dipandu seorang juruterbang dan pembantu didakwa terjunam ke bawah dengan kelajuan yang tinggi selepas salah satu daripada dua sayapnya dikatakan terpisah ketika berada di udara.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, pesawat tersebut terjunam ke dalam ladang kelapa sawit yang merupakan kawasan tanah gambut.
“Ladang tersebut terletak dalam kawasan tanah gambut dan keadaan itu menyebabkan pesawat terbenam ke dalam tanah sehingga tiga meter berdasarkan kepada kerja penggalian yang dibuat pasukan bomba semalam (kelmarin).
“Pada awal kejadian (sebelum kerja penggalian), hanya bahagian ekor pesawat berkenaan sahaja yang kelihatan dengan sebahagian sayap yang masih intact pada badan pesawat, selebihnya bahagian muncung dan kokpit terbenam dalam tanah.
“Kemudian, dalam radius 800 meter pula terdapat serpihan lain seperti bahagian sayap yang tercabut, dipercayai terpisah ketika berada di udara bertebaran tidak jauh dari lokasi pesawat terjunam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau menambah, kedua-dua mayat dilaporkan berada dalam keadaan sempurna apabila anggota badan dikatakan masih ‘intact’, sebaliknya hanya cebisan-cebisan kecil ditemukan sekitar lokasi nahas menjadi petunjuk awal kepada penemuan mangsa.
“Mayat memang sempurna, cuma ada dua serpihan daging kita temukan di lokasi selain kesan darah dan rambut. Ia menjadi petunjuk confident kepada pasukan penyelamat ketika itu bahawa mayat berada di situ sebelum kerja-kerja penggalian dibuat,” jelasnya.
Semalam, akhbar ini melaporkan dua individu maut dalam insiden pesawat terhempas yang berlaku kira-kira pukul 1.35 tengah hari berdasarkan komunikasi terakhir juruterbang bersama pegawai kawalan trafik udara.
Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Subang Skypark) pada pukul 1.28 tengah hari sebelum didapati terhempas dan mengorbankan Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 42.
Kedua-dua mangsa itu ditemukan dalam kokpit pesawat berkenaan antara pukul 7.06 dan 7.17 petang sebelum di bawa ke Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk pengecaman oleh waris dan bedah siasat.
Dalam pada itu, Wan Md. Razali memaklumkan proses mencari dan menyelamat (SAR) peringkat bomba selesai malam tadi dan diserahkan kepada polis serta Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan untuk tindakan lanjut.
“Kita selesai kerja-kerja peringkat kebombaan termasuk sweeping malam tadi yang melibatkan pengumpulan bangkai dan serpihan pesawat untuk diserahkan kepada siasatan polis dan BSKU.
“Selain itu, siasatan awal bomba juga tidak menemukan sebarang kesan kebakaran pada mana-mana bahagian pesawat berkenaan. Tetapi, ketika operasi kita tetap sedia dengan kelengkapan pemadaman api,” ujarnya. – UTUSAN










