Perlis United ke Liga Super ? - Utusan Malaysia

Perlis United ke Liga Super ?

PERLIS United FC (PUFC) dikhabarkan bakal diberi laluan bersaing dalam Liga Super musim 2024/2025 atas kuota negeri.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Khabar gembira buat penyokong bola sepak di negeri ini apabila dikhabarkan Perlis United FC (PUFC) bakal diberi laluan bersaing dalam Liga Super musim 2024/2025 atas kuota negeri bagi melengkapkan slot 14 pasukan bersaing dalam kancah liga utama negara itu.

Malah, Perlis United juga difahamkan berjaya menarik minat syarikat terkemuka untuk menaja pasukan itu bagi menghadapi Liga Super.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak mengucapkan tahniah kepada pasukan berkenaan yang berusaha mendapatkan tajaan.

Katanya, beliau difahamkan Perlis menerima jemputan atas tiket negeri daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi bersaing dalam Liga Super musim ini.

Ujarnya, kerajaan negeri sentiasa menyokong PUFC dan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) di samping turut bersedia membantu dalam aspek fasiliti termasuk penggunaan Stadium Tuanku Syed Putra.

“Tahniah pada PFA dan PUFC kerana dengan perkembangan penajaan ini, ia menunjukkan sifat mandiri mereka untuk terus melonjakkan pasukan bola sepak negeri ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Zikri berkata, kerajaan negeri sememangnya tiada masalah bagi membincangkan secara lanjut berkaitan pengurusan pasukan khususnya membabitkan fasiliti venue perlawanan dan latihan.

“Stadium Tuanku Syed Putra yang sedang menjalani proses ubahsuai dijangka siap pada April ini dan boleh digunakan sebagai venue perlawanan nanti.

“Saya difahamkan kerajaan negeri juga ada menerima geran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai bantuan bagi penambahbaikan padang dan sistem saliran di stadium berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya PUFC dapat bersama-sama bersaing dalam kancah Liga Super, kerajaan negeri mengharapkan pasukan berkenaan mampu mempamerkan prestasi pada tahap terbaik.

“Kita memang mengharapkan yang terbaik kerana Perlis sudah lama tidak merasa suasana meriah dalam sukan bola sepak seperti suatu masa dulu.

“Ini bukan soal pasukan mana paling hebat atau kaya, tapi ia adalah satu perjuangan dalam membawa nama negeri ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN