KUALA TERENGGANU: Segelintir pengunjung di pantai peranginan di daerah ini masih tidak serik dengan kejadian lemas yang berlaku di Pantai Batu Buruk, di sini, baru-baru ini, apabila masih bermain air di pesisir pantai tersebut.
Perkara tersebut didedahkan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abnihajar yang kesal dengan sikap ambil lewa segelintir pengunjung di kawasan pantai peranginan itu.
Menurutnya, melalui tinjauan yang dilakukan pihak bomba, masih ada ibu bapa yang membiarkan anak mereka bermain air di pantai tanpa menghiraukan risiko yang mungkin dihadapi.
“Dalam setiap rondaan, pasukan kita akan menasihatkan pengunjung agar lebih berhati-hati kerana musim Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negeri ini masih belum berakhir.
“Anggota bomba telah meningkatkan pemantauan setiap hujung minggu iaitu pada Jumaat dan Sabtu.
“Kita turut mengedarkan risalah serta menasihati pengunjung untuk tidak melakukan aktiviti di air dan berharap mereka tidak bersikap lepas tangan dengan membiarkan anak-anak bermain air di pantai tanpa pengawasan orang dewasa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Baru-baru ini, seorang lelaki dari Petaling Jaya, Selangor ditemukan lemas di Pantai Batu Buruk selepas dihanyutkan arus kuat ketika bermandi manda di situ.
Mayatnya ditemukan terapung oleh nelayan berhampiran Pulau Gemia di Marang dengan jarak 16 kilometer dari lokasi kejadian.
Susulan itu, orang ramai berharap pemantauan lebih kerap dilakukan pasukan penyelamat di kawasan pantai tumpuan pelancong bagi mengelakkan kejadian sama berulang lagi pada masa akan datang.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara kawasan pantai peranginan yang dibuat rondaan ialah ialah Pantai Batu Buruk, Pantai Pandak, Chendering; Taman Awam Lagun, Kuala Ibai; Pusat Rekreasi Kalang Warisan dan Dataran Banggol Cempedak.
Rozizah berkata, dalam pemantauan tersebut, pengunjung dinasihatkan agar tidak terlalu leka di pantai dan sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka.
“Sikap ini perlu diubah kerana malang tidak berbau, lebih elok kita ambil langkah berwaspada sebelum berlakunya sebarang insiden tidak diingini,” katanya. – UTUSAN










