LUMUT: Ketiadaan bekalan air sejak enam hari lalu di beberapa tempat di Pulau Pangkor menyukarkan kehidupan penduduk termasuk pengusaha hotel dan inap desa.
Antara kawasan yang paling terkesan dengan gangguan di luar jangkaan itu ialah di Kampung Teluk Dalam dan Teluk Nipah.
Seorang penduduk, Zainal Abidin Ismail, 54, berkata, gangguan bekalan air bukan perkara baharu di Pulau Pangkor namun keadaannya semakin meruncing apabila air langsung tiada bermula Khamis lalu.
Katanya, penduduk yang terkesan hanya bergantung kepada agihan air dari lori tangki Lembaga Air Perak (LAP) namun bekalan itu pun tidak mencukupi
“Kalau ikutkan, empat lori tangki akan membekalkan air kepada penduduk tapi kadang-kadang yang datang hanya satu lori sahaja.
“Jumlah itu memang tidak cukup untuk penduduk di sini (Kampung Teluk Dalam) tambahan lagi kawasan ini juga ada inap desa yang turut memerlukan bekalan air,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Zainal Abidin, masalah tekanan air rendah diakui kerap berlaku namun yang paling ketara adalah dalam tempoh dua ke tiga bulan lalu.
“Mereka maklumkan gangguan bekalan air ini disebabkan kebocoran paip rentas dasar laut ke Pulau Pangkor. Perkara itu kami sudah sedia maklum tapi sekarang ini kami mahu tahu apa penyelesaian bagi masalah ini.
“Bila tiada air susahlah untuk kami sebab majoriti penduduk di sini beragama Islam, jadi untuk membersihkan diri dan bersolat agak sukar,” katanya.
Sementara itu, pengusaha hotel, Syafiq Rozman berkata, dia kesal kerana tiada sebarang notis atau makluman berkaitan gangguan bekalan air dari LAP.
Katanya, ketiadaan air dalam tempoh seminggu itu menyebabkan syarikatnya terpaksa membatalkan tempahan bilik sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM50,000.
“Sumber ekonomi penduduk di sini adalah pelancongan jadi dalam tempoh cuti persekolahan dan perayaan, kami sepatutnya meraih rezeki berganda terutama bagi penjaja, pengusaha sukan air dan teksi.
“Malangnya, disebabkan isu air yang kritikal, ramai pelancong terpaksa membatalkan tempahan dan ini sudah tentu menjejaskan periuk nasi kami,” katanya.
Bagi pengusaha inap desa, Suhaimi Omar, 46, dakwaan LAP kononnya pengusaha hotel dan inap desa di Pulau Pangkor tidak menyediakan tangki simpanan mencukupi untuk menampung bekalan pada waktu puncak adalah tidak tepat.
Sebaliknya, semua pengusaha ada menyediakan tangki simpanan namun ia hanya mampu bertahan dalam tempoh 48 jam.
“Disebabkan masalah air ini, penduduk kampung dan pengusaha inap desa berbalah. Bagi saya, isu air di Pulau Pangkor sekarang ini sangat kritikal kerana ia terputus dalam tempoh yang lama,” katanya.
Tinjauan mendapati penduduk terpaksa meletakkan baldi, besen serta tong di hadapan rumah bagi mendapatkan air dan ada berlaku pertelingkahan kerana berebut air dari lori tangki. – UTUSAN







