MELAKA: Seorang pemuda yang videonya tular dalam media sosial kerana menumbuk seorang wanita warga emas berikutan berang ditegur membakar sampah di sebuah tapak glamping di Tanjung Kling di sini, hujung bulan lalu didakwa di Mahkamah Majistret, semalam.
Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Amirul Fathi Mohd. Noor, 26, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja memukul seorang warga emas berumur 77 tahun menggunakan tangan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 1.20 petang di belakang sebuah rumah di Batu 9 Pantai Kundor, Tanjung Kling dalam daerah Melaka Tengah pada 28 Januari 2024.
Mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Peguam Nur Aminahtul Mardiah Md. Nor serta Nurul Hafidzah Hassan merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh tidak mempunyai pekerjaan tetap kerana hanya membantu neneknya membersihkan tapak glamping berkenaan.
Tambah Nur Aminahtul Mardiah, anak guamnya juga merupakan orang kurang upaya (OKU) selepas mengalami keretakan pada bahagian kepala akibat terlibat dalam nahas pada usianya tujuh tahun. – UTUSAN










