KUALA LUMPUR: Pegawai penyiasat kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, beliau pernah menerima arahan daripada pihak tertentu agar tidak meneruskan siasatan kes bertujuan melindungi Datuk Seri Najib Tun Razak daripada pendakwaan, lapan tahun lalu.
Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin berkata, arahan itu diterima selepas pelantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebagai Ketua Pesuruhjaya yang baharu pada 2016 menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib identiti individu yang mengeluarkan arahan tersebut, saksi pendakwaan ke-49 (SP49) berkata beliau mengingatinya namun ada mencatatnya dalam diari siasatan.
Menurut Nur Aida, 37, terdapat laporan polis dibuat oleh pihak tertentu yang mendakwa wujud konspirasi melibatkan Abu Kassim, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz untuk menggulingkan Najib dan kerajaan ketika itu.
Maklumat itu diperoleh ketika mahkamah mendengar rakaman audio perbualan di antara bekas Perdana Menteri dan bekas pegawai khasnya, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.
Terdahulu, mahkamah mendengar sembilan rakaman audio perbualan di antara Najib dan beberapa individu berprofil tinggi berhubung kes 1MDB yang disiasat oleh SPRM.
Dua individu itu termasuk Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dan Dzulkifli yang ketika itu pegawai undang-undang Jabatan Peguam Negara (AGC).
Perbualan itu turut melibatkan bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Salleh manakala suara isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut kedengaran dalam rakaman tersebut.
Sembilan rakaman audio itu dimainkan di mahkamah pada perbicaraan kes Najib, 71, yang menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.
Nur Aida, 37, yang juga pegawai penyiasat kes penyelewengan (1MDB) berkata, beliau mengecam suara Najib selaku Perdana Menteri ketika itu yang merupakan individu yang dikenali manakala Rosmah pernah berurusan dengannya ketika siasatan SPRM.
Selain itu, suara Dzulkifli dicam kerana beliau adalah Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu serta pernah bertugas di bawahnya dalam pasukan petugas khas beberapa tahun lalu.
Ujar pegawai kanan SPRM itu, suara Abdul Azeez dicam kerana suara bekas pemimpin politik itu selalu didengar ketika sesi perbahasan di Parlimen selain beliau sendiri mengesahkannya kepada agensi itu manakala Syukry turut hadir di pejabat tersebut mengesahkan suaranya.
Menurut Nur Aida, beliau pada asalnya tidak mengecam suara Sheikh Mohammed Zayed namun kemudian mengetahui bahawa Najib berbual dengan Putera Mahkota UAE semasa menerima naratif audio daripada pihak SPRM.
Saksi turut mengesahkan bahawa kandungan perbualan itu berkenaan pengumuman Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) pada 2015.
Ujarnya, kandungan itu juga berkenaan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan 1MDB yang mana Amhari mengesahkan Najib pernah mengarahkan beliau untuk berurusan dengan Abu Dhabi supaya IPIC tidak meneruskan penyelesaian tuntutan di mahkamah.
Sementara itu, Nur Aida berkata, hasil siasatan beliau tidak menemui sebarang surat bertulis yang diserahkan Najib kepada Raja Abdullah atau Kerajaan Arab Saudi sebagai tanda penghargaan atau terima kash atas sebarang pemberian derma seperti didakwa bekas Perdana Menteri itu.
Menurut Nur Aida, pihaknya hanya menerima empat salinan surat Arab Saudi berkaitan derma kepada Najib yang mendakwa diterimanya daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Katanya, pihaknya juga tidak menerima surat asal dalam milikan Najib selepas membuat pemeriksaan di Pejabat Perdana Menteri.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah disambung dengan mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-50, Jasmine Loo Ai Swan. – UTUSAN









