Pegawai kanan polis parah, anak maut terlibat kemalangan

Pegawai kanan polis parah, anak maut terlibat kemalangan

DUA kenderaan yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan seorang anak pegawai polis di Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR 2) dari arah Sungai Besi menghala Cheras, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pegawai kanan polis parah manakala anak perempuanya maut selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR 2) dari arah Sungai Besi menghala Cheras, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi itu, kemalangan berkenaan membabitkan sebuah motosikal Honda ditunggangi pegawai berpangkat Asisten Superintenden dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Mitsubishi Xpander.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu MPV sedang bergerak lurus di lorong paling kiri.

Kata beliau, sebaik tiba di tempat lokasi kejadian, MPV tersebut telah dilanggar dari belakang oleh motosikal dinaiki pegawai polis berkenaan.

“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal bersama pembonceng telah terjatuh ke atas jalan di lorong yang sama dan mengalami kecederaan.

“Anak kepada pegawai kanan polis berkenaan telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan manakala bapanya mengalami kecederaan patah tangan kanan dan tangan kiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, pegawai kanan polis berumur 42 tahun dan anaknya berusia 6 tahun telah dibawa ke wad kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) untuk mendapatkan rawatan.

“Pemandu kenderaan MPV yang merupakan seorang wanita berumur 45 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

Tambah beliau, ketika kejadian aliran trafik bergerak perlahan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik, Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267 169 atau mana- mana Balai Polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN