PATI terkepung, polis tunggu di lorong tikus - Utusan Malaysia

PATI terkepung, polis tunggu di lorong tikus

PATI Polis
ANTARA pekerja asing yang ditahan dalam operasi itu dekat Telok Gong, Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, semalam.- UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) meloloskan diri menerusi laluan ‘tikus’ di sebuah kilang di Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini, gagal apabila dicekup polis yang menggempur premis itu, petang ini.

Dalam serbuan bermula pukul 2.30 petang itu, puluhan warga asing sedang bekerja di kilang tersebut yang memproses barangan logam dan plastik.

Menyedari kehadiran pihak berkuasa, ada daripada mereka termasuk wanita melarikan diri lebih 200 meter di laluan khas itu sebelum dikesan bersembunyi dalam semak berdekatan premis berkenaan.

Perkara itu dikesan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang melaksanakan Operasi (Op) Bersepadu Pintas bersama beberapa agensi berkaitan.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi itu dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya mengenai PATI tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penahanan seramai 62 individu berusia 20 hingga 40-an bagi tindakan lanjut.

“Semua PATI itu terdiri daripada termasuk tujuh wanita melibatkan warga China, Myanmar, Indonesia, Kemboja, Bangladesh, Nepal dan Vietnam.

“Selain, tiga lelaki warga asing diselamatkan selepas disyaki menjadi mangsa pemerdagangan,” katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati lorong tikus berdekatan kawasan longkang itu dilengkapi laluan khas yang menghubungkan dua premis kilang tersebut.

Premis yang mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) itu turut menyediakan beberapa bilik yang dijadikan sebagai asrama pekerja.

Selain itu, seorang lelaki Indonesia berusia 21 tahun yang diselamatkan polis mendakwa terpaksa bekerja selama 12 jam dengan bayaran RM75 sehari.

Tambah Soffian, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 55B, Seksyen 39B, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

“Siasatan lanjut turut dijalankan polis mengikut Seksyen 12 Atipsom 2007. Kesemua tangkapan itu dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan bagi tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN